Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Jumaat, 30 Julai 2010

Tiada Yang Percuma DiDunia Ini.

Udara yang kita semua sedut dengan kadar purata 12 sedutan seminit ini, adakah ianya percuma? Jika dilihat pada perspektif kasar, ya, memang ianya seolah-olah percuma kerana kita tidak perlukan wang atau duit membayarnya. Akan tetapi adakah segala yang kita nikmati didunia ini semestinya berurusan dengan wang atau duit? Bagaimana jika saya katakan udara yang kita sedut ini tidak percuma? Mungkin ada yang setuju dan mungkin ada yang kata tidak.

Bagaimana pula dengan mereka yang mengambil hak insan lain secara sedar atau tidak, contohnya dengan mengambil rasuah, mencuri, makan harta anak yatim, menipu dan mana ini adalah secara langsung. Yang terselindung pula adalah riba' samada faedah dari bank ataupun saham tidak halal yang mana manusia mengambil hak insan lain samada secara paksa (riba' dengan Along) ataupun secara sukarela (riba' atau pembiayaan jual beli dengan bank).

Bagaimana pula dengan skim cepat kaya atau yang berselindung disebalik MLM dengan menjual produk sambil memperdayakan ahli mencari ahli yang lain dan kemudiannya yang menjadi mangsa selalunya adalah mereka yang berada dibawah sekali dalam tingkat piramid? Malah ada syarikat yang menggunakan konsep ini sambil menjual barangan berunsurkan Islam.

Tiada yang percuma didunia ini dan apa yang dinikmati dan nampak seolah-olah percuma itu sebenarnya ada harga yang mesti dibayar. Disini saya akan membawa rakan-rakan sekalian untuk kembali merenung dan berfikir dari asas kehidupan itu sendiri hinggalah kepada mengapa Allah melarang kita mengambil hak orang lain samada mencuri, mengambil rasuah, makan harta anak yatim dan terutamanya riba' yang mana Allah dan rasul mengishtihar perang terhadap mereka yang berbuat demikian.



Sebelum wujudnya wang samada kepingan emas, perak ataupun wang kertas, bagaimanakah caranya manusia mendapatkan barang keperluan contohnya makanan? Manusia harus berusaha mencarinya kerana ianya tidak datang bergolek didepan mata. Ada yang mencarinya dihutan dengan memetik buah-buahan ataupun memburu. Makin lama muncul pula pengkhususan dimana manusia mengusahakan sawah atau ladang. Bagaimana pula jika manusia inginkan barangan lain selain dari apa yang diusahakannya? Maka muncul pula situasi dimana manusia mula bertukar-tukar barangan (barter).

Ini bermakna, jika saya ada mahukan sesuatu contohnya beras, maka saya perlu berusaha menanamnya atau mencari sesuatu yang berguna, punyai nilai dan dikehendaki oleh manusia lain contohnya seberkas kayu api, dan saya juga perlu berusaha mencari sesiapa yang punyai beras dan mahukan kayu api. Apabila bertemu maka saya harus berbincang dan bersetuju mengenai kadar pertukaran, mungkin seberkas kayu api saya itu boleh saya tukarkan dengan secawan beras. Saya juga harus berakad untuk menyempurnakan urusan seumpama jual beli ini. Jika tidak dengan bertukar barangan, saya boleh juga menukar beras itu dengan skil yang ada pada diri saya, contohnya menuai padi untuk pemunya sawah dan kemudiannya dia mengupah saya dengan sejumlah beras.

Ini bermakna, jika saya tidak punyai apa-apa iaitu suatu yang bernilai atau skil berguna yang memberi perkhidmatan kepada manusia lain, maka tidak mungkin saya akan memperolehi sesuatu barangan lain kecualilah jika saya menjadi peminta sedekah ataupun mencuri. Semua harus didahulukan dengan usaha dan usaha memerlukan tenaga, saya mesti punyai suatu yang bernilai dahulu sebelum boleh ditukarkan dengan suatu yang bernilai dan tukaran itu juga mestilah setanding dengan barang yang mahu ditukar dan disusuli pula dengan persetujuan (akad) untuk proses tersebut.

Sekarang saya cuba kaitkan pula proses ini dengan fizik, usaha memerlukan tenaga dan ini bermakna tanpa melibatkan tenaga, sesuatu hasil (barang atau perkhidmatan) tidak akan diperolehi. Menurut teori relativiti Einstein, berdasarkan formula E=MC2, tenaga dan jirim (mass) adalah dua benda yang sama tetapi dalam bentuk yang berbeza dan kedua-duanya saling bertukar. Ini bermakna dari tenaga yang kita keluarkan, ia berubah manjadi suatu yang nyata, jelas dan fizikal (jirim). Menurut hukum pengekalan tenaga (Law of conservation of energy) pula, tenaga didalam suatu sistem tertutup itu tidak boleh dihasilkan atau dimusnahkan, ia hanya boleh berubah dari satu bentuk kepada satu bentuk yang lain samada melalui kinetik, induksi, konveksi ataupun radiasi.

Allah menjadikan matahari sebagai punca utama tenaga didunia ini dan dari tumbuh-tumbuhan, tenaga mathari tersebut bertukar menjadi sesuatu yang berguna untuk umat manusia, baik untuk makanan mahupun barang diguna pakai, dari makanan ruji seperti gandum dan beras hinggalah kepada minyak yang mana ianya adalah hasil dari reputan tumbuh-tumbuhan dan dinasour beribu-ribu tahun dahulu yang juga mendapat tenaga dari matahari. Tenaga tersimpan dalam bentuk suatu yang wujud (jirim) ataupun gelombang seperti gelombang bunyi ataupun gelombang haba. Tenaga berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain dan pertukaran ini nampak seperti suatu yang boleh dikawalsecara mutlak sedangkan pada hakikatnya itu tidak dapat dicapai sama sekali dimana jika dilihat dari sudut sub-atomik, ianya hanyalah kemungkinan dan kebarangkalian sahaja. Einstein sehingga akhir hayatnya tidak dapat menerima hakikat bahawa dunia sub-zarah memang terbukti suatu yang tidak boleh ditentukan hingga ungkapan beliau "Tuhan tidak bermain dadu" masih diungkapkan didalam kebanyakan buku falsafah fizik. Jadi adakah Allah SW "bermain dadu" dan membiarkan dunia tenaga atau sub-zarah ini dengan ketidak tentuan?

Sejak lebih 300 tahun dahulu kebanyakan kita diasuh dengan fizik klasik yang dikemukakan oleh Newton berdasarkan asas yang diberikan oleh Descartes, Galileo, Kepler dan Copernicus, dan melaluinya konsep sesuatu yang berlaku ada penyebabnya (causality), dengan menggunakan hukum gerakan Newton, kehidupan didunia ini boleh dikira baik dari perlanggaran biji guli hinggalah kepada menerbangkan roket keangkasa. Manusia percaya kepada suatu yang jelas, yang nampak, yang boleh diuji dan dikaji, maka dalam bab mengambil rasuah, makan riba', mencuri dan sebagainya ini, manusia percaya dengan kuasa, kebijaksaaan, kelicikan dan sebagainya yang ada pada diri mereka, mereka dapat mengira, mengagak dan mengawal harta atau wang ringgit yang didapati dengan cara tidak sah itu. Akan tetapi dunia yang jelas memang boleh dikawal, diagak dan sebagainya, tidak didalam dunia zarah sub-atomik.

Pada pendapat saya menerusi pengamatan dan penelitian, Allah tidak membiarkan dunia zarah sub-atomik ini dengan ketidak tentuan, Allah telah pun meletakkan undang-undang tertentu tetapi tidak disebut secara langsung kepada umat manusia. Ini kerana Allah SW mahu menguji hambanya dan mahukan hambaNya yang berfikir akan tetapi diakhir zaman ini amat kurang sekali umatnya yang berbuat demikian kerana telah tenggelam dengan hiburan, kesenangan dan kemewahan. Cuma mereka yang benar-benar beriman sahaja yang tidak perlu tahu mengapa Allah SW memerintahkan sedemikian kerana mereka yakin dan percaya apa yang diperintahkan Allah itu ada hikmahnya. Manusia akhir zaman dengan punyai ilmu yang sedikit bongkak bangun menentang apa yang diperintahkan Allah dengan alasan sudah jumud, menindas dan menyalahi hak kebebasan memilih, hak individu dan sebagainya. 

Allah maha adil, itulah undang-undang atau hukum yang menidakkan ketidaktentuan dunia sub-zarah atau dunia tenaga. Setiap apa yang kita nikmati baik dari udara yang disedut, wang dan kekayaan yang diperolehi mestilah secara adil. Jika kita tidak menjaga alam sekitar (tumbuh-tumbuhan) bahananya adalah perubahan cuaca dunia. Jika kita mendapat kekayaan dengan mengambil hak insan lain, terjadilah pelbagai penyakit sosial masyarakat terutamanya kecurian, penipuan, rasuah dan sebagainya dan ia akan berbalik kepada diri kita sendiri. Semua yang kita nikmati ini ada tanggungjawab dan harga yang terpaksa dan perlu dibayar.

Bermula dengan pertukaran barang, kemudiannya emas atau komoditi sebagai wang hinggalah kepada penggunaan kertas yang mewakili wang, jika difikirkan secara mendalam, wang sebenarnya hanyalah mewakili sebanyak mana tenaga yang kita usahakan dan tenaga ini bertukar bentuk dari usaha atau kerja kepada wang dan kemudiannya dari wang itu kita mendapat sesuatu yang lain. Contohnya kita bekerja dan hasil dari kerja itu kita mendapat gaji dalam bentuk wang, dan dengan wang itu kita boleh mendapatkan khidmat usaha manusia lain ataupun barangan yang diusahakan oleh orang lain. Semuanya berbalik kepada usaha dan usaha itu asalnya dari tenaga. Dan melalui interaksi sesama manusia inilah (jualbeli dan perkhidmatan), tenaga berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain. Persoalannya, adakah tenaga yang kita perolehi (yang diwakili oleh wang itu) benar-benar milik kita?

Apabila kita hanya mengambil tenaga dari insan lain contohnya dengan riba' iaitu memberi pinjaman dan mengambil faedah lebih dari yang dipinjamkan, insan yang meminjam itu terpaksa memberikan tenaga yang diperolehinya (dari usahanya sendiri) kepada kita tanpa timbal balas yang adil, perumpamaan yang saya boleh berikan adalah ibaratkan diri kita secawan air yang mana dari tenaga insan lain (yang kita paksa mereka berikan kepada kita) maka suhu kita (air) tersebut akan meningkat. Maknanya tenaga dari insan lain beralih kepada diri kita dan diri kita mempunyai lebih tenaga (suhu tinggi dari persekitaran). Ini boleh dilihat dengan mereka yang kaya raya dimana mereka lebih bertenaga dan berkuasa sedangkan yang miskin lemah dan tidak punyai tenaga hatta untuk menanggung diri sendiri sekalipun.

Dan ini yang dapat kita lihat keadaan didunia ini sekarang dimana perbezaan yang ketara antara yang kaya dan yang miskin. Akan tetapi Allah itu maha adil dan zarah sub-atomik yang mana ianya merupakan gumpalan tenaga (quanta) ini akur kepada perintah Allah. Tenaga ini akan keluar dan kembali semula kepada pemunya asal tenaga tersebut. Rujuk kembali kepada perumpaman secawan air itu tadi, jika suhu persekitaran rendah berbanding suhu air tersebut, lama kelamaan suhu air didalam cawan itu akan kembali kepada suhu persekitaran. Jika kita letak air tersebut didalam thermos sekalipun lama kelamaan suhunya tetap akan turun juga menyamai persekitaran dan ini yang cuba dilakukan oleh mereka yang kaya dengan hasil usaha insan lain (riba', rasuah, menipu dan sebagainya).

Perumpamaan memasukkan air tersebut kedalam thermos adalah dengan memasang grill pada rumah, meletakkan pengawal keselamatan ataupun alat penggera yang mana manusia cuba menghalang tenaga (wang ringgit) tersebut kembali kepada pemunya asal, akan tetapi tenaga itu tetap akan lari dengan cara lain samada hilang ketenangan dan kegembiraan, dan manusia perlu mengeluarkan wang (tenaga yang disimpan) untuk mencarinya (ketenangan) ataupun hilang kesihatan yang mana akan hilang juga wang (tenaga yang disimpan) untuk mengubatinya. Apabila ekonomi masyarakat berasaskan riba', rasuah ataupun penipuan, maka ketidak adilan akan berlaku maka suhu yang kaya akan semakin meningkat dan suhu yang miskin akan semakin rendah. Bagi miskin yang tidak beriman mereka akan merompak, dan bagi kaya yang tidak beriman mereka akan cuba menghalang wang yang mereka perolehi secara tidak adil itu dengan pelbagai sistem dan alat keselamatan.

Kekayaan atau kemewahan yang sebenarnya adalah apabila seseorang manusia itu memberi sesuatu yang memberi lebih nilai kepada insan lain, yang akan menaikkan suhu atau tenaga insan lain. Contohnya jika saya bukukan artikel blog ini dan menjualnya dengan harga sepuluh ringgit dan hasil dari pembacaan artikel saya itu pembeli buku saya itu menjadi lebih positif hidupnya dan lebih beriman (insyaallah) maka tenaga (wang) yang saya perolehi dari pembeli itu akan menaikkan suhu diri saya (makin kaya) dan pada masa yang sama suhu pembeli juga akan meningkat hasil dari perubahan cara berfikir dan juga cara hidup yang lebih baik. Barulah keadilan wujud disini dan kedua-dua pihak iaitu saya dan pembeli buku saya mendapat kebaikan dari urusniaga tersebut. Wang yang saya perolehi akan kekal pada diri saya kerana jumlah tenaga saya dan masyarakat sekitar menjadi sama.

Bagaimana pula jika saya mendapat kekayaan dengan mengambil rasuah? Apakah nilai yang telah saya berikan kepada insan lain? Tenaga didalam diri saya akan meningkat akan tetapi persekitaran semakin rendah. Bagaimana pula dengan cara menipu? Bagaimana pula dengan cara memanipulasikan harga barangan contohnya menyorok gula atau beras dengan harapan harga akan naik dan kemudian baru menjualnya? Bagaimana pula dengan mengumpul kekayaan dengan riba'? Tenaga (wang ringgit) yang saya dapati itu tidak akan kekal dan akan mengalir keluar dengan pelbagai cara dan sudah semestinya dengan kepayahan dan kesusahan. Dan inilah janji Allah bagi mereka yang hanya mahu mengambil tetapi tidak mahu memberi (rujuk Surah Al-Lail 92:8-10).

Semua larangan Allah itu adalah kerana Allah itu maha penyayang dan tidak mahu hambaNya mendapat kesusahan baik didunia mahupun diakhirat, akan tetapi manusia semakin hari tidak percayakan Allah dan apatah lagi tamadun manusia itu sendiri tidak pernah meminta manusia untuk bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku keatas diri mereka dan menganggap apa yang terjadi keatas diri mereka hanyalah kerana mereka adalah mangsa dan manusia lain itu penyebabnya. Fizik kuantum telah melenyapkan tanggapan ini dan meletakkan apa yang terjadi didalam hidup manusia itu adalah hasil dari perbuatan mereka sendiri (rujuk Surah Ar-Rum 30:41).

Hasil dari urusan sehari-harian samada kerja ataupun urusan jualbeli, amat sukar untuk mempastikan apa yang kita perolehi itu benar-benar milik dan hak kita. Contohnya masa kerja yang kita sepatutnya berikan adakah benar-benar kita telah berikan kepada majikan kita dengan sepenuhnya? Begitu juga dalam urus niaga jual beli, mungkin ada terkurang timbangan yang mana mungkin tanpa sedar kita telah menganiaya insan lain. Maka disinilah pada pendapat saya kelebihan zakat yang mana zakat itu yang kita berikan akan menaikkan kembali suhu persekitaran dan kekayaan yang kita perolehi itu akan benar-benar dirahmati Allah SW dan zarah sub-atomik (tenaga) yang kita perolehi itu akan kekal bersama kita dan tidak lari mengalir keluar.

Begitu jugalah dengan bersedekah yang mana apabila kita memberi kepada insan lain, ini juga akan memberi tenaga (melalui sedekah itu tadi) kepada insan lain lantas menaikkan "suhu" tenaga mereka, maka barulah kita akan mendapat masyarakat yang hidup aman dan harmoni. Hidup sebenarnya adalah untuk memberi dan apabila kita memberi itu balasan itu hanyalah dari Allah (Surah Al Lail 92:5-7) maka akan Allah permudah jalan bagi kita. Allah SW telah memberi perumpaan bahawa mereka yang bersedekah dan mengharapkan balasan hanya dari Allah itu pula adalah umpama biji benih yang kemudiannya menumbuhkan tujuh tangkai (Surah Al Baqarah 2:261), bagaimana tenaga ini akan kembali kepada kita? Jika anda telah membaca artikel Fizik Dosa dan Pahala, anda pasti akan memahaminya. Seluruh makhluk, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan gunung-ganang berzikir dan akur kepada perintah Allah dan melalui mereka jugalah tenaga yang kita berikan kepada insan lain akan kembali semula kepada kita.

Udara yang kita sedut ini tidak percuma, sebaliknya ianya adalah proses pertukaran antara kita manusia dan juga tumbuh-tumbuhan yang mengambil karbon dioksida dan memberikan kita oksigen untuk hidup. Semua ini telah berlaku secara adil dengan ketentuan Allah dan apabila manusia tidak sayangkan alam sekitar dan memusnahkannya, maka kesan buruk itu jugalah yang menimpa manusia itu kembali. Begitulah juga dengan hubungan antara manusia dengan manusia yang lain, mestilah dilakukan dengan seadil-adilnya, jika tidak penyakit masyarakat akan berlaku dan dunia secara sendirinya berubah menjadi neraka. Tiada yang percuma didunia ini, semuanya ada harga yang terpaksa dibayar. Celakalah mereka yang mengambil hak insan lain dan tidak menyumbang untuk menaikkan taraf hidup (suhu dan tenaga) insan lain. Moga artikel ini dapat menerbitkan pemikiran baru bagaimana kita semua melihat dunia ini, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share
"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas