Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Khamis, 27 Januari 2011

Kempen Satu Rumah Satu Terjemahan Al Quran

Katakanlah anda telah membeli sebuah telefon bimbit model baru dengan harga yang murah (phone AP), akan tetapi sebelum anda boleh menggunakannya anda terpaksa membuat pelbagai tetapan (setting) sendiri, anda membuka manual tersebut untuk mengikut arahan untuk melakukan tetapan akan tetapi anda dapati tiada arahan didalam bahasa malaysia, amat malang sekali arahan didalam bahasa inggeris pun tidak ada. Yang ada hanyalah arahan didalam bahasa asing yang anda tidak fahami. Agaknya dapatkah anda dapat terus mula menggunakan telefon bimbit tersebut? Dapatkah juga agaknya anda gunakan telefon tersebut secara maksimanya iaitu menggunakan segala fungsi-fungsi terkini dan istimewanya?

Anda begitu mengikuti satu siri asing ditv, satu siri percintaan, disebabkan terdapat sarikata disediakan anda dapat mengikuti siri tersebut dengan penuh perasaan hinggakan anda acapkali menitiskan airmata apabila menontonnya. Katakanlah tiba-tiba satu hari stesen tv yang menyiarkan siri tersebut lupa untuk menyediakan sarikata didalam bahasa malaysia, agak-agaknya dapatkah anda mengikuti siri tersebut dengan penuh perasaan, dapatkah anda memahami apa yang dituturkan oleh hero dan heroinnya. Dapatkah anda beremosi sama ketika siri tersebut disiarkan dengan sarikata?




Katakanlah anda ditugaskan keluar negara kesatu tempat asing yang mana bahasa mereka tidak anda fahami, apabila tiba disana masaalah pertama apabila anda terpaksa bersoal jawab dengan pegawai imigresen disana untuk apakah tujuan anda memasuki negara mereka. Keluar sahaja dari terminal masaalah baru pula melanda apabila anda menghadapi kesukaran memberitahu pemandu teksi hotel yang anda harus tujui. Begitu juga apabila mula bekerja dan merasakan kesukaran untuk menjalankan tugas anda dengan berkesan disebabkan anda tidak memahami bahasa pertuturan mereka.

Katakankah penceramah motivasi terkenal Tony Robbin datang memberi ceramah diibu negara dan anda mendapat tiket percuma untuk menghadirinya. Anda begitu teruja untuk menghadirinya lebih-lebih lagi mengetahui bagaimana hebatnya beliau mengubah hidup beribu-ribu manusia yang mendengar ceramah beliau. Masaalahnya anda tidak fasih berbahasa enggeris. Apabila anda mendengar ceramah beliau, dengan loghat Amerika yang kuat dan juga butir percakapan yang pantas, apa yang anda dapat bukanlah motivasi sebaliknya kekecewaan.

Keempat-empat anologi diatas adalah sedikit dari pelbagai lagi anologi-anologi lain yang boleh diberikan untuk menunjukkan betapa pentingnya pemahaman didalam komunikasi sesama insan. Dari empat cerita yang saya berikan tadi, keupayaan untuk memahami dan juga bertutur bahasa asing akan membantu kita menjadi insan yang lebih produktif, cemerlang dan juga untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik. Bagaimana pula untuk mengoptimumkan komunikasi antara Pencipta dengan mahkluk ciptaanNya pula?

Kita sebagai manusia juga memiliki satu "mesin" canggih dari mula kita lahir hinggalah kita menuju alam akhirat. Dan "mesin" yang saya maksudkan tersebut tidak lain tidak bukan adalah tubuh badan kita sendiri yang diamanahkan dan dipinjamkan oleh Allah SW kepada kita untuk kegunaan didunia yang sementara ini. Melihat dari persepsi semasa dunia perubatan, mereka juga menganggap tubuh badan kita sama seperti mesin yang mana bahagian yang rosak boleh diganti dengan samada pindahan organ, organ palsu mahupun dibaik pulih secara kimia iaitu dengan menggunakan ubat-ubatan. Sama juga seperti telefon bimbit atau apa juga alatan yang kompleks, penciptanya pasti menyediakan sekali manual tentang bagaimana alatan itu harus digunakan untuk memastikan penggunaannya yang optimum dan juga jangka hayat yang lebih lama sebaik mungkin.

Allah SW telah memberikan kepada manusia Al Quran sebagai "manual" untuk manusia itu rujuk gunakan mengenai bagaimana tubuh-badan kita ini harus kita gunakan termasuklah juga dalam hubungannya dengan hamba-hamba Allah SW yang lain. Akan tetapi Al Quran ini tidak diturunkan didalam bahasa Melayu, melihat pada budaya kehidupan kita selama ini yang hanya mengutamakan pembacaan dan tidak pemahaman, maka bagaimanakah mungkin kita mampu menggunakan tubuh badan yang Allah SW pinjamkan kepada kita ini dengan cara yang paling berkesan?

Selama ini kita hanya membiarkan maksud ayat-ayat Allah SW ini diterangkan dan dibacakan oleh ustaz, ustazah atau ulamak sahaja, dan kebanyakan mereka ini hanya mengambil sebahagian atau sepotong ayat-ayat Allah SW ini untuk menyokong pendapat atau hukum yang mereka berikan. Ini membuka pintu kepada masyarakat untuk mengikut sahaja apa yang dibawa oleh mereka dengan membuta tuli tanpa menyelidik apakah motif dan tujuan mereka itu. Ya, memang untuk membawa manusia dekat kepada Allah SW akan tetapi jika mereka juga menggunakannya untuk mendapat nikmat dunia maka kita sebagai umat Islam wajib juga melakukan inisiatif untuk memahami ayat Al Quran ini dengan sendirinya.




Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan... Surah An Nisa 4:43
Allah SW melarang umat Islam dari melakukan solat sehingga mereka memahami apa yang dibacakan, dan ini tidak pernah disarankan dengan meluasnya dikalangan masyarakat kita. Yang selalu diutamakan adalah bacaan dan juga gaya pergerakan yang betul. Hanya selepas mula membaca terjemahan Al Quran barulah saya mengetahui yang pemahaman apa yang dibacakan itu juga amat penting dan ini telah pun saya kemukakan didalam artikel saya yang lepas. (Pentingnya Memahami Bacaan Solat). Walaupun ayat diatas merujuk kepada mabuk disebabkan oleh arak, dalam dunia akhir zaman ini dengan manusia yang mabuk kebendaan dan nikmat dunia, solat sudah pun jadi "autopilot" tunggang terbalik sedar-sedar dah pun bagi salam tanpa menyedari ataupun memahami apa yang dibacakan.


Klip video diatas adalah nasyid didalam bahasa Arab, dan nasyid adalah lagu yang mana selalunya memuji Allah SW disamping doa dan juga rintihan manusia sebagai hamba kepada Penciptanya. Boleh dikatakan didalam solat juga kita melakukan perkara yang sama. Dan dari mana kita mendapatkan panduan untuk menjalani kehidupan yang sempurna? Tidak lain tidak bukan tentulah dari Al Quran, akan tetapi cukupkah dengan hanya mendengar beberapa ayat terpilih yang diucapkan oleh ustaz-ustaz tanpa perlu kita membaca keseluruhan ayat Al Quran tersebut?


Klip diatas ini pula saya masukkan terjemahan nasyid itu sekali, bukankah dengan memahami apa yang penyanyi cuba sampaikan ianya lebih memberi kesan kepada kita? Sama jugalah dengan membaca atau mendengar bacaan Al Quran didalam bahasa Arab, tanpa pemahaman ianya tidak akan memberikan kesan terbaik kepada manusia itu sendiri.

Tujuan saya menulis artikel ini pula adalah untuk mengajak rakan-rakan sekalian mula menggiatkan diri untuk memahami Al Quran terutamanya ayat-ayat lazim yang mana apabila kita melakukan solat nanti, mudah-mudahan menjadi lebih fokus dan khusyuk berkat memahami apa yang dibacakan. Faedah lain pasti juga akan menyusul terutamanya apabila kita mendalami pelbagai ilmu dunia dan kemudiannya mendapati apa yang kita pelajari itu terdapat didalam Al Quran. Contohnya Teori Big Bang ada diceritakan didalam Al Quran jadi apabila kita membaca teori ini didalam buku-buku sains maka insyaallah akan bertambahlah kepercayaan dan keimanan kita kepada Allah SW yang mana itu telah menunjukkan bahawa Dialah pencipta seluruh alam ini.
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? Surah Al Anbiya 21:30
Apabila saya tidak keluar bertugas, selepas solat isyak saya akan mengajar anak-anak saya membaca Al Quran, satu hari satu muka surat. Selepas habis sahaja membaca Al Quran saya minta mereka buka terjemahan Al Quran dan baca pula apa maksud ayat yang telah dibacanya. Dengan mendengar apa yang dibacakan oleh anak-anak pada masa yang sama saya juga belajar ilmu yang baru. Pendedahan maksud ayat-ayat Allah SW ini amat penting bagi anak-anak agar wujud didalam otak mereka pengetahuan mengenainya yang mana akan mereka gunakan dikemudian hari nanti. Jika tidak mengajar membaca Al Quran sekalipun kita sebagai ibubapa, pada pendapat saya perlu kalau boleh setiap hari duduk bersama anak-anak untuk membaca terjemahan, kita sebagai ibubapa juga akan mendapat manafaatnya walaupun hanya dengan mendengar.

Terdapat pelbagai terjemahan Al Quran yang diterbitkan oleh beberapa syarikat contohnya Darulfikir dan juga Al Hidayah House of Quran. Harganya pula sekitar 50 hingga 70 ringgit dan bagi saya masih didalam lingkungan kemampuan kita bagi kebanyakan masyarakat Melayu Malaysia. Harap juga rakan-rakan akan sebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan yang lain. Kempen didalam Facebook menerusi causes.com juga telah saya adakan untuk memudahkan mengajak rakan-rakan yang lain kearah lebih mendekati Allah SW dengan berkat memahami Al Quran. Klik link dibawah ini untuk ke laman kempen satu rumah satu terjemahan Al Quran. Moga dapat bersama menjadi agen perubahan kearah masyarakat yang lebih dekat kepada Allah SW berkat pemahaman dari pembacaan terjemahan Al Quran itu nanti, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Jumaat, 14 Januari 2011

Kamu Engineer, Belajar Enjin Sudahla...

Yang berkata tu engineer, professor engineer, kamu belajar pasal enjin sudahla, kalau nak belajar, belajarlah betul-betul, jangan pandai-pandai buat fatwa...
Terimakasih kepada sahabat yang hanya mahu dikenali sebagai "Pembaca SyurgaDiDunia" kerana telah menghantar mp3 rakaman ceramah Ustaz Zaharuddin (Uzar) dalam usaha beliau untuk mempertahankan perbankan islamik dan juga untuk menyangkal tuduhan Sheikh Imran berdasarkan video 9 minit "Muslihat Bank Islam". Bagi rakan-rakan yang ingin mendengar ceramah Uzar, pautan untuk muat turun mp3 rakaman ada saya sediakan dibawah perenggan ini. Saya minta rakan dengar dahulu ulasan Uzar agar lebih memahami ulasan saya ini. Agak mengecewakan kerana hampir keseluruhan ilmu Sheikh Imran hanya dirujuk pada video yang pendek itu sahaja sedangkan pada pendapat saya ceramah penuh beliau (Islam dan Sistem Kewangan Antarabangsa) yang sepatutnya diselidik dikaji dan difahami. Saya pada mulanya tidak mahu menulis artikel untuk mengulas mengenai ceramah beliau ini, akan tetapi apabila terdengar ungkapan beliau diatas, engineer patut belajar pasal enjin sahaja, maka terpanggillah saya untuk memberi sedikit ulasan.





Saya tidak tahu kalau ada engineer lain yang dimaksudkan oleh Uzar, akan tetapi dari ungkapan "triple riba" Uzar, besar kemungkinan beliau merujuk kepada artikel saya sebelum ini. Saya pun tidak tahu kalau ada engineer lain yang lantang menyatakan ketidak setujuan dengan praktis yang diamalkan oleh perbankan islam dan jika ada rakan-rakan yang mengetahuinya, harap dapat dimaklumkan kepada saya. Tidak dinafikan bahawa Uzar memanglah seorang ahli kewangan syariah islam yang tersohor dinegara kita dan saya amat menghormati beliau, akan tetapi ini bukan bermakna apa sahaja pendapat beliau itu seratus peratus betul, dan betul atau tidak itu juga bergantung kepada dari perspektif apa, sama jugalah yang Uzar ungkapkan bahawa wang emas itu sunah, ya dan tidak. Berbanding dengan saya yang baru bertatih mempelajari ilmu agama secara "part time" kerana kerja "full time" saya adalah berkenaan enjin, sudah tentulah tidak setanding dengan beliau yang "full time"nya adalah perbankan syariah itu sendiri. Akan tetapi sedangkan adakalanya tukang paip yang pakar dalam kerjanya juga kadangkala kita tidak berpuas hati apabila melakukan kerja pembaikan dirumah, tak semestinya juga kita patut terima bulat-bulat apa sahaja yang disogokkan oleh pakar perbankan kerana apa juga yang diperbaikinya (sistem kewangan) melibatkan diri kita sendiri, keluarga dan juga masyarakat, jadi bukankah kita sepatutnya lebih berhati-hati? 

Sejarah telah pun membuktikan bahawa terdapat beberapa tokoh ulung islam yang telah tersilap perhitungan berkenaan perkara riba' ini, didalam bukunya The Prohibition Of Riba In The Quran And Sunnah, Sheikh Imran memetik komen Abdullah Yusuf Ali didalam terjemahan Al Quran beliau kebahasa inggeris, beliau (Abdullah) menyatakan bahawa keuntungan hasil dari ekonomi kredit yang didapati dari sektor perbankan dan kewangan moden bukan riba' (ms 33) sedangkan kita semua maklum dan bersependapat bahawa ianya adalah riba' (dan ini kemudiannya menjana penubuhan perbankan islam). Contoh kedua yang diberikan oleh Sheikh Imran adalah Sheikh Muhammad Abduh yang merupakan mufti Mesir (1899-1905) dan rektor Universiti Al-Azhar yang mana telah mengeluarkan fatwa bahawa faedah atau bunga dari akaun simpanan di Pejabat Pos Mesir tidak haram. Dan apabila sistem kewangan yang diasaskan oleh barat ini di"fatwa"kan halal oleh seorang mufti maka yang tersohor maka tidak hairanlah apabila saya ke Mesir kerana tugas, saya lihat begitu sedihnya keadaan ekonomi rakyatnya. Bagi rakan-rakan yang pernah dan sedang belajar disana, pasti tahu situasi ekonomi yang menyedihkan dikalangan warga Mesir, sebab itu lah saya tidak hairan apabila melihat kartun ini didalam akhbar harian mereka. Jika negara yang mempunyai universiti yang boleh dianggap sebagai "kaabah" bagi kebanyakan umat islam dalam bab pencarian ilmu agama ini punyai sistem ekonomi yang tenat, bukankah ada sesuatu yang teramat tidak kena disini? 




Saya mencari rezeki dunia dengan belajar bab enjin, dan mencari rezeki akhirat dengan belajar ilmu lain seperti fizik, psikologi, neurosains, hipnosis, ekonomi, konspirasi dunia dan termasuklah perihal wang dan perbankan yang mana saya cuba kaitkannya dengan Islam dan berusaha menyebarkannya kepada rakan-rakan menerusi artikel-artikel saya ini dengan harapan agar rakan-rakan lebih hampir kepada islam, bertambah keyakinan dan keimanan terhadap Allah SW. Bukankah ilmu yang memberi manafaat itu salah satu saham selepas mati?. Saya tidak meminta apa-apa jua balasan dari rakan-rakan pembaca kerana saya yakin Allah SW yang akan membalasnya samada didunia (alhamdulillah saya mula merasainya) mahupun diakhirat kelak. Berbalik kepada percanggahan pendapat ini, jika anda telah membaca banyak artikel dan jawapan kepada komen-komen yang telah banyak saya berikan sebelum ini, saya selalu meminta rakan-rakan selidik atas sebab apakah seseorang itu menyokong atau menentang sesuatu pendapat itu. Mana ada manusia hatta haiwan sekalipun yang akan menggigit tangan orang yang memberi mereka makan. Adakah saya akan menulis untuk bacaan khalayak ramai akan keburukan syarikat saya bekerja sekarang ini? Akan kehilanganlah sumber pendapatan saya nanti jika saya berbuat demikian dan jika kemahiran saya hanya membaiki enjin, susahlah saya mencari kerja disyarikat kerana saya sudah tidak punyai reputasi yang baik dikalangan syarikat enjin. Jadi dari senario ini harap rakan-rakan dapat buat perbandingan yang terbaik.
Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayat petunjuk. (Surah Yassin 36:21)
Memang saya dan Uzar membicarakan perkara yang sama iaitu perbankan islam, akan tetapi niat dan motif saya dan beliau amatlah berbeza sekali. Beliau dan saya melihat perbankan islam ini dari sudut yang berbeza. Saya memperjuangkan keadilan ekonomi untuk semua manusia, dan ini tidak akan dapat dikecapi jika pengagihan kekayaan itu tidak mengikut cara islam sebenarnya iaitu dari yang kaya kepada yang miskin menerusi zakat dan sedekah. Ini belum termasuk perhambaan mental yang tidak kelihatan dimata kebanyakan manusia. Perhambaan mental yang saya maksudkan ini contohnya adalah seperti kemampuan manusia itu sendiri untuk berani menentang kemungkaran, contohnya jika terikat dengan perbankan islamik beli kereta, beli rumah dan tahu jika tidak bayar kereta akan ditarik dan rumah akan dilelong, beranikah seseorang itu bersuara apabila dia mengetahui yang pemimpin atau bosnya korup? Kemungkinan besarnya tidak, sebab itulah mereka yang berkuasa semakin angkuh kerana mereka tahu rakyat yang sudah diperhambakan ini akan tunduk kepada mereka dan tidak berani bersuara.

Uzar telah jelaskan panjang lebar akan helah yang dibolehkan seperti kisah Nabi Ayub, akan tetapi helah tersebut memberikan kebaikan, meningkatkan kasih sayang sesama insan dan ianya tidak mengkaitkan insan lain. Berbanding dengan helah perbankan islam yang mana jika dilihat dari perspektif kesan sosiologi dan psikologi masyarakat itu sendiri, ianya memberikan kesan yang buruk. Helah yang dilakukan oleh perbankan islam adalah untuk membolehkan darah masyarakat disedut dengan memutarbelitkan akad jual beli (peminjam beli rumah, jual kat bank, lepas tu bank jual balik pada pembeli) agar risiko hanya tertanggung oleh peminjam sahaja. Apabila risiko tertanggung oleh peminjam sahaja dan begitu juga wang tambahan yang terpaksa dibayar kerana tolong membelikan rumah untuk peminjam, maka ianya tiada bezalah dengan riba' ikut pintu depan oleh perbankan konvensional. 

Jika saya labelkan perbankan konvensional haram, pasti ramai yang akan bersetuju, kerana apa? Kerana ianya adalah riba' yang nyata, apakah riba' yang nyata ini telah dan akan lakukan? Penindasan, kerana peminjam diwajibkan membayar lebih dari jumlah yang dipinjam, menghambakan peminjam dan yang memberi pinjam akan menjadi semakin kaya hasil dari titik peluh insan lain, dalam skala lebih besar lagi ianya menyumbang kepada inflasi iaitu turunnya nilai wang itu sendiri. Islam adalah agama yang mengharamkan penindasan, menggalakkan keprihatinan dan kasih sayang sesama umat, haramnya riba' ikut pintu depan ini kerana ianya memberikan kesan yang buruk. Akan tetapi jika perbankan islamik juga nampaknya telah memberikan kesan yang sama iaitu peminjam terpaksa membayar lebih, peminjam diperhambakan walaupun mereka merelakannya (dan ini pada pendapat saya adalah kerana tidak menyedarinya) dan penat-lelah mereka akan beralih kepada yang kaya tanpa belas kasihan (risiko hanya pada peminjam), maka melihat pada kesan yang sama ini, apa jua helah yang digunakan oleh perbankan islamik untuk menghalalkan urusniaga mereka itu tidak boleh diterima, helah mereka adalah untuk menjaga kepentingan mereka semata-mata.

Katakanlah saya seorang pelabur islam yang kaya, saya mendapati arak menjadi minuman kegemaran ramai hari ini. Jika saya boleh melibatkan diri didalam sektor perniagaan arak ini maka saya tahu saya akan cepat  dan mudah menjadi lebih kaya, tetapi saya tahu arak adalah haram dari sudut islam kerana kesannya membuatkan manusia menjadi ketagih, mabuk dan akhirnya merosakkan diri. Fikir punya fikir maka saya mendapat satu idea, saya gajikan penyelidik yang sanggup "memecahkan kepalanya" memikirkan bagaimana untuk menghasilkan botol arak istimewa yang boleh menukarkan jus anggur kepada arak hanya apabila pelanggan menekan butang pada tutup botol. Jadi pada masa saya keluarkan minuman saya ini dari kilang dan juga dari kedai, ianya masih jus anggur lagi, tetapi pelangganlah yang membuatkan ianya menjadi arak. Dalam kes ini perniagaan saya halal atau tidak? Ini kira helah ni, adakah helah ini dibolehkan? Bagi yang waras pasti boleh berfikir sudah tentulah tidak boleh kerana arak juga yang sampai kepada pelanggan, kesan akhir yang merosakkan itulah yang menyebabkan arak itu dilarang, begitu jugalah dengan riba', jadi apabila merujuk kepada perbankan islam yang mencipta helah, kesan kepada pelanggan itu yang patut dilihat dan bukan bagaimana urusniaga mereka dilakukan.

Saya bersetuju dengan Uzar tidak semua helah itu tidak boleh, pada pendapat saya helah yang boleh digunakan apabila ianya memberikan kebaikan kepada orang yang dihelah, ini yang apa dikatakan "tipu sunat" dalam masyarakat kita. Akan tetapi jika helah tersebut hanya memberikan kelebihan kepada sipenghelah dan tiada atau hanya sedikit sahaja kepada yang dihelah, maka itu bukan "tipu sunat" tetapi tipu betul dan itu adalah penindasan. Adakah menghalalkan cara atau menukar nama (pinjaman dengan pembiayaan) boleh menghalalkan juga kesan "output" atau keputusannya apatah lagi jika ianya sama sahaja dengan cara yang haram? Allah SW menghalalkan perniagaan kerana didalam perniagaan pintu risiko terbuka luas pada semua pihak yang mana ada pihak yang akan untung dan ada pihak yang akan rugi (dan ini yang tidak difahami oleh ahli perbankan syariah), jadi kekayaan akan berkitar didalam masyarakat secara adil dan inilah perbezaannya dengan sistem perbankan. Riba' tidak sama dengan perniagaan kerana didalam riba' pihak yang memberi pinjam tidak didedahkan dengan risiko, melihat pada praktis perbankan baik islamik yang tiada risiko ataupun risikonya diminimumkan, maka bukankah ianya juga riba'. Melalui perniagaan Allah SW akan membuatkan sesetengah pihak untung dan sesetengah yang lain pula rugi, jadi kekayaan berkitar didalam masyarakat, dalam riba' pula yang untung hanya pemberi pinjam dan yang rugi hanyalah yang meminjam, bukankah itu menghalang Allah SW dari mengagihkan kekayaan dengan adil? 

Masaalahnya zaman sekarang ini ramai umat manusia yang mahu jalan senang untuk mencari kemewahan, caranya adalah dengan pelaburan. Menerusi syarikat yang "berhad" yang tersenarai di bursa saham ini, manusia yang punyai wang lebih (golongan senang dan kaya) boleh melaburkan wang mereka, dan untuk memastikan pelabur mendapat pulangan positif maka sudah tentulah tenaga kerja syarikat ini adalah terdiri dri mereka yang boleh "memecahkan kepala" mereka untuk memikirkan strategi dan termasuklah helah yang mana boleh memberikan keuntungan yang maksima. Sebab itulah CEO syarikat berhad ini dibayar gaji beratus ribu sebulan, baik dari syarikat api, air, telefon hinggalah ke perbankan baik islam atau konvensional, kerana dia hanya akan menggaji pekerja bawahan dan penasihat yang sudah tentunya punyai "mind-set" yang sama iaitu berusaha membawa keuntungan kepada syarikat dan berupaya merendah atau meminimumkan risiko sehabis mungkin. Perbankan islam tidak akan mengambil penasihat yang menentang praktis mereka, adakah hanya kerana ada panel syariah yang sebulu dengan bank ini maka sudah boleh dilabel 100% islamik?. Perlu diingatkan bahawa pengkorporatan sebenarnya adalah peng"keparat"an kepada rakyat lebih-lebih lagi jika ianya syarikat yang membekalkan keperluan asas seperti api, air dan termasuk jugalah sistem kewangan, mengkayakan segelintir mereka yang punyai keistimewaan dan menindas sejumlah besar rakyat yang lain.

Uzar dalam lebih kurang 20 minit yang pertama ceramah beliau menjelaskan perihal riba' dengan merujuk dan menjelaskan panjang lebar setiap ayat dalam surah Al Baqarah dari ayat 275 hingga ayat 281, tetapi yang amat menghairankan saya ayat 280 beliau ungkit sikit sahaja iaitu "bab hutang bayar lambat" padahal itu bukanlah intipati sebenar ayat tersebut. Didalam ayat 280 Allah SW meminta peminjam diberikan tempoh hingga lapang hidupnya dan jika dianggap sedekah sahaja ianya lebih baik kepada pemberi pinjam. Pemikir perbankan islam menggunakan pelbagai ayat-ayat Quran, hadis-hadis dan termasuklah sejarah kewangan islam untuk membolehkan "jual beli" digunakan dalam pembiayaan islamik, apa yang dianggap helah yang dibolehkan, akan tetapi persoalan utamanya adalah mengapa perbankan islamik tidak memberikan tempoh kepada peminjam jika mereka sedang kesempitan apatah lagi memansuhkan hutang, contohnya dalam kes rumah terbengkalai? Mengapa ayat ini tidak diambil kira dalam dalam perkiraan dan juga didalam perjanjian pembiayaan mereka jika organisasi perbankan islamik ini benar-benar islamik dan pemikir-pemikirnya benar-benar golongan yang beriman dan percaya kepada apa yang Allah SW nyatakan bahawa ianya "adalah lebih baik untuk kamu". Jika ayat Allah SW ini diketepikan maka islamik mereka itu hanya pada nama sahaja dan bukan pada semangatnya itu, samalah dengan kebanyakan umat manusia hari ini, Islam pada nama sahaja ataupun apa yang selalu Sheikh Imran gunakan iaitu "part time muslim".
Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak) Surah Al-Baqarah 2:280
Ini jelas menunjukkan apabila ahli perbankan syariah mengemukakan hujah-hujah mengenai perbankan islamik, apa sahaja ayat yang tidak memberi manafaat kepada mereka tidak diambil kira.
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api Neraka dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat dan Dia tidak membersihkan mereka (dari dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Surah Al-Baqarah 2:174
Saya pasti jika soalan ini ditanyakan kepada Uzar jawapannya sudah tentulah siapa yang mahu rugi didalam perniagaan, jadi kalau sesuatu perniagaan itu di"imunisasi", dikebalkan, dielakkan dari kerugian oleh undang-undang atau prinsip perniagaan yang diolah dan diputar belitkan oleh mereka sendiri apatah lagi seolah-olah membutakan diri dari ayat Allah SW ini yang mengutamakan keprihatian maka ia tiada bezanya dengan riba', iaitu bertambahnya harta tanpa mengambil kira kesengsaraan atau kesempitan insan lain baik individu (iaitu individu diperhambakan), ini belum termasuk masyarakat yang ditindas dengan inflasi (turunnya nilai wang) dan juga persaingan dalam usaha merebut dan mengaut wang yang senantiasa tidak cukup didalam masyarakat (wang yang mesti dipulangkan kepada bank sentiasa melebihi yang yang dikeluarkan). Akan tetapi pasti ini akan ditangkis oleh ahli perbankan Islam bahawa kami bukan bagi pinjam, kami memberi pembiayaan jadi ayat Allah ini tidak merujuk kepada kami, hujah saya pula, pertama berbalik kepada apa yang telah saya kemukakan iaitu adakah mengubah cara boleh menghalalkan juga kesannya? Keduanya jika ditanya pada masyarakat kebanyakan, mereka tetap melihat pembiayaan itu sama seperti pinjaman kerana tetap juga bayar setiap bulan dan tetap juga bayar lebih kepada bank.

Akan tetapi didalam dunia akhir zaman ini siapa yang mahu percayakan sesuatu yang tidak kelihatan seperti janji Allah SW ini? (menganggap sedekah itu lebih baik pada kamu), tiada bukti, tiada dokumen, tiada kontrak, tiada sistem jelas yang ganjaran akan diterima, maka sebab itulah sistem perbankan islam itu penuh dengan helah agar keuntungan tetap mengalir kesatu arah sahaja, pintu risiko bagi mereka (bank) ditutup atau diminimakan dan risiko diletakkan sepenuhnya kepada peminjam, akibat dari konsep ini maka kekayaan jelas beralih hanya dari rakyat kebanyakan yang rata-rata miskin kepada yang kaya terutamanya pemegang saham. Untung rugi didalam sistem perbankan lebih kepada berapa ramai peminjam berkualiti (boleh bayar dengan taat) tolak kos pengurusan dan juga pengiklanan dan bukan majoritinya dari pinjaman yang tidak dapat diterima kembali. Dan siapakah pemegang saham ini, tidak lain golongan senang atau kaya yang makin lama makin senang dan makin kaya. Pada pendapat saya perbankan baik konvensional mahupun islamik tidak lain hanyalah muslihat sistem kapitalis untuk
memastikan mereka yang berada diatas piramid kekal diatas dan golongan kebanyakan dibawah hanyalah hamba-hamba yang menjaga kebajikan mereka sendiri. Perhambaan fizikal memerlukan tuan menyediakan rumah, makan dan sebagainya kepada hambanya, perhambaan baru melalui ekonomi ini lebih mudah, hamba-hambalah yang akan mencari rumah sendiri, cari pakaian sendiri, cari makan sendiri, cari hiburan sendiri dan sebagainya akan tetapi setiap bulan memberikan sebahagian dari penat lelah mereka itu kepada "tuan" mereka itu, siapa lagi jika bukan syarikat perbankan. Dan jika dilihat pada pinjaman konvensional, hampir separuh dari pembayaran untuk tempoh pinjaman adalah hanya membayar bunga, faedah atau riba' kepada pihak bank. Rujuk artikel Rumah Beli Atau Sewa.

Dan apabila menjadi hamba kepada bank, semakin kuranglah tugas utama yang sepatutnya dijalankan didunia ini iaitu hamba kepada Allah SW, sembahyang nak cepat je apatah lagi nak khusyuk, kemasjid apatah lagi. Hanya menjadi pak turut kepada pemerintah yang korup, manusia akan semakin sibuk bekerja keras membayar balik pembiayaan, ibu terpaksa keluar bekerja, anak-anak semakin terabai, masyarakat menjadi semakin tertekan (stress), moral semakin rosak, buang bayi macam buang sampah sahaja, manusia semakin mementingkan diri sendiri dan sebagainya, inilah yang saya maksudkan kesan sosiologi dan psikologi kepada masyarakat keseluruhan. Perbankan islamik tiada bezanya dengan perbankan konvensional yang mana disebabkan manusia terikat dengan perjanjian pinjaman atau pembiayaan, dengan sukarelanya menjadi hamba kepada mereka. Kesan terhadap masyarakat itu yang sepatutnya diambil kira dan bukannya samada helah boleh digunakan atau tidak. Pemimpin apatah lagi ulamak harus melihat dari sudut ini dan bukannya dari sudut menjaga periuk nasi mereka ataupun untuk menyedapkan hati muslim yang mahu senang dan kaya dengan mudah (pelabur) ataupun muslim yang mahukan nikmat dunia tetapi tidak mahu bersabar dan berusaha membeli dengan tunai (peminjam).

Berkenaan wang kertas pula, haramnya wang kertas tersebut bukanlah terletak pada bagaimana ianya digunakan akan tetapi keupayaannya untuk menyimpan nilai dan juga mudahnya ia boleh dimanipulasikan. Jika wang simpanan didalam bank sekalipun dimamah oleh inflasi, apatah lagi wang yang disimpan dibawah bantal, selepas beberapa tahun ia tidak mampu lagi membeli barang yang sebelum itu boleh dibayar dengan jumlah wang yang sama, adakah ini dibenarkan didalam Islam? Jika anda menonton keseluruhan ceramah Sheikh Imran, ini yang dimaksudkan oleh beliau wang yang sebelum ini boleh beli unta tetapi selepas 5 tahun boleh beli keldai sahaja. Wang kertas dan sistem kewangan yang digunapakai sekarang ini termasuklah apa yang diamalkan oleh perbankan Islam iaitu mencipta dengan mudahnya menerusi sistem pecahan simpanan (fractional reserve system) adalah haram kerana ia tidak boleh memegang atau menyimpan sesuatu nilai tersebut sedangkan wang emas atau apa sahaja yang punyai nilai tersimpan didalamnya (intrinsic value) tidak bersifat demikian. Tambahan pula dengan mudahnya wang baru dicipta menerusi kira-kira akaun, ditambah pula dengan wang yang mesti dipulangkan kembali kepada bank yang senantiasa tidak mencukupi disebabkan oleh riba' baik ikut pintu depan atau pintu belakang, maka kesan buruk inilah yang mesti diberikan perhatian.
Diceritakan oleh Abu Hurairah: Nabi (SAW) bersabda: Akan datang suatu ketika kepada umat manusia bilamana hanya penerima riba sahaja yang tinggal, dan jika manusia itu berkata dia tidak menerimanya, debu riba tetap akan mencapainya. Sunan Abu Dawood
Sebab itulah dosa riba' amat besar dan Allah SW serta Rasul mengishtiharkan perang, kerana apa? Kerana kesannya adalah kepada semua golongan masyarakat. Sebab itu bab perbankan islam ini kita tidak boleh melihat hanya dari sudut individu sahaja. Dari hadis Nabi yang mengatakan debu atau wap riba' itu pasti akan menyelimuti semua manusia, apakah ianya jika bukan wang kertas yang digunakan oleh semua manusia hari ini, turunnya nilai wang itu disebabkan inflasi itulah riba' yang sebenarnya, penindasan, penipuan dan juga perhambaan kepada seluruh umat manusia. Dapat kah rakan-rakan pembaca memikirkan apakah debu atau wap riba' yang Nabi SAW maksudkan itu jika ianya bukan wang kertas yang digunakan oleh semua umat manusia hari ini? Mungkin ada pembaca yang boleh berikan jawapannya dan berkongsi bersama didalam ruangan komen nanti. Dan jika debu atau wap riba' itu adalah wang kertas maka adakah kita selesa menggunakannya tanpa berusaha untuk mengubahnya? Dan kita juga perlu ingat Allah SW tidak akan mengubah sesuatu kaum itu jika mereka sendiri tidak mahu berubah? Dan bukankah mengutuk penggunaan wang kertas itu adalah langkah pertama yang patut diambil dan bukannya menggalakkan dan mengharuskan lagi penggunaannya.

Wang haram yang kita terima dari pencuri, jika menggunakannya memang tidak haram, tetapi itu hanya jika kita tidak mengetahuinya, tetapi jika kita tahu seorang itu adalah pencuri, adakah kita mahu menerima atau pun berurus niaga dengannya apatah lagi jika kita tahu wang akan diberikan kepada kita adalah wang curi? Kecualilah jika diri kita ini juga adalah seorang pencuri baik secara sedar atau tidak. Samalah juga dengan kes pemimpin Islam sediri yang melatah, melompat dan dengan lantang menentang hukum hudud contohnya potong tangan bagi pencuri kerana mereka juga adalah pencuri, tetapi pencuri terhormat yang mencuri wang rakyat jelata melalui kepimpinan mereka yang korup. Minda separuh sedar mereka akan memberontak kerana tahu badan mereka telah dipenuhi dengan makanan yang haram.

Amerika adalah pencuri, perompak, penyamun dan pengganas terbesar didunia kerana dengan hanya mencetak wang tanpa sandaran, mereka membeli semua kekayaan dunia secara percuma, apakah sebenarnya yang memberikan nilai kepada matawang dollar mereka? Yang memberi nilai kepada USD adalah kebodohan pemimpin dunia terutamanya pemimpin-pemimpin Islam yang rata-ratanya pengeluar minyak yang memperdagangkan minyak dengan dollar, jika mereka meminta emas untuk minyak mereka maka Amerika tidak akan menjadi kuasa besar didunia, akan tetapi disebabkan sudah tenggelam dengan nikmat dunia dan hidup umpama sudah disyurga, mereka tidak nampak lagi keburukan akibat tindakan mereka itu. Begitu juga takut akan hilang takhta dan juga perlindungan dari Amerika itu sendiri. Apa akan jadi jika Arab Saudi menjual minyak mereka dengan emas atau pun dengan matawang lain, pasti mereka akan dilabel punyai "weapon of mass destruction", tentera marin akan mendarat maka selamat tinggallah "American Kingdom of Saudi Arabia" bak kata Sheikh Imran dalam ceramah Respon Islam Terhadap Revolusi Feminis beliau. Islam hanya mampu manjadi kuasa terbesar dunia jika mereka mengambil kembali kuasa tersebut dari kafirun, akan tetapi melihat pada pemimpin yang kita miliki sekarang ini (yang mana kita sendiri memilihnya melalui pilihanraya) maka itu hanyalah umpama mimpi disiang hari sahaja.

Berbalik kepada cerita wang kertas, jika nilainya semakin menurun saban tahun (inflasi), adakah itu dibenarkan didalam islam? Inflasi itu sendiri adalah cukai terlindung kepada masyarakat yang mana tanpa sedar kekayaan secara senyap mengalir kepada mereka yang kaya. Buktinya sudah saya kemukakan didalam artikel yang lepas iaitu Negara Semakin Bankrap Tetapi Yang Kaya Semakin Kaya. Sedang negara dah nazak nak bankrap tetapi yang kaya semakin kaya, mengapakah ini terjadi? Korup, menipu, rasuah, berniaga yang haram dan sebagainya bukanlah penyebab utama, pada pendapat saya sistem kewangan itu sendiri itu sendirilah penyebabnya yang mana riba' adalah enjinnya dan wang kertas itu pula adalah pelincirnya. Jika wang orang ramai nilainya semakin berkurangan saban hari, adakah Allah SW membenarkannya, dan jika Allah SW tidak membenarkan harta manusia dikurangkan, bukankah wang kertas itu haram?
... Oleh itu sempurnakanlah sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya... Surah Al Araf 7:85
Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan dimuka bumi. Surah Hud 11:85
Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan dibumi. Surah Ash-Shuara 26:183
Sebagaimana iman tidak boleh diwarisi secara keturunan, begitulah juga sifat buruk manusia (walaupun kemungkinannya ada). Manusia tidak dilahirkan sebagai pencuri, pemakan rasuah, penipu, meniaga yang haram dan sebagainya, keadaan persekitaran yang mencorakkan jaringan neuron diotak manusia tersebut lantas dari itulah asas pilihan apakah yang akan diambil oleh seseorang manusia itu nanti, dan oleh kerana tidak dialas dengan keimanan dan kepercayaan kepada tuhan maka jalan syaitanlah yang dituruti. Dalam dunia yang jumlah yang wang yang ada didalam kitaran senantiasa kurang dari jumlah yang harus kembali kepada pengeluarnya iaitu bank, contohnya belikan rumah 100k tetapi wang yang harus dipulangkan 200k, ditambah pula wang hanya boleh datang dari bank, maka berubahlah corak pemikiran manusia dari prihatin kepada pentingkan diri sendiri, dari yang tahu halal haram kepada yang tidak lagi memperdulikannya, termasuklah juga yang dari ingatkan tuhan kepada yang hanya ingatkan dunia ini sahaja. Kemudian dengan daifnya marahkan insan lain yang membesar menjadi pencuri, penyangak, perompak dan sebagainya sedangkan mereka turut sama menyumbang membentuk masyarakat sedemikian rupa. Ini yang dimaksudkan oleh ahli falsafah fizik kuantum yang mana menyatakan manusia itu sendiri mencipta realiti kehidupan, dunia yang kita alami ini terhasil dari tindak tanduk kita sendiri baik secara sedar atau tidak, jika kita mencuri tanpa sedar, contohnya mengambil hak orang lain secara bathil dengan bersubahat dengan riba' maka kita juga menyumbang dalam melahirkan pencuri. Malangnya kita tidak pernah diajar untuk bertanggung-jawab terhadap apa jua yang melanda dan hanya menyalahkan takdir sahaja contohnya jika kita dicuri atau dirompak. Menghapuskan pencuri bukanlah dengan membina pagar rumah setinggi tembok penjara pudu ataupun memasang penggera paling canggih, cara menghapuskan pencuri adalah dengan menghapuskan kemiskinan dan perhambaan secara halus ini, itu yang paling utama.
Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun sebesar zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar. Surah An-Nisa 4:40
Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikit pun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri. Surah Yunus 10:44
Dan tidaklah Kami menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Surah Az-Zukhruf 43:76
Memanglah perubahan untuk memberhentikan penggunaan wang kertas itu tidak boleh dilakukan dengan mengejut, dan saya yang lantang membicarakan haramnya wang kertas ini masih tetap menggunakannya untuk urusan sehari-hari. Akan tetapi ada bezanya dengan guna dan sedar akan keburukannya dan diikuti dengan semangat mahukan perubahan berbanding dengan guna dalam keadaan tidak sedar (itu boleh dimaafkan lagi), inikan pula sudah sedar tetapi tidak mahu berusaha menolak apatah lagi mengharamkannya. Memang bagi saya penggunaannya sekarang ini dalam keadaan darurat tetapi daruratnya itu bukan kepada saya sahaja tetapi kepada semua. Apabila dalam keadaan darurat, bukankah kita patut berusaha meninggalkannya dan bukan mencanangkan penggunaannya dibolehkan atau diharuskan dan tidak sedikit pun punyai niat untuk lari daripadanya. Kecualilah oleh mereka yang menganggap ianya tidak haram dan bukan debu atau wap riba' yang dimaksudkan oleh Nabi SAW. Barangkali para ulamak yang membenarkan penggunakan wang kertas 16 tahun dulu itu tidak mengambil kira akan susutnya nilai wang kertas itu sepanjang hari. Sedangkan buku teks sekolah pun setiap tahun ada "revision"nya, takkan lah bab wang yang menjana kehidupan masyarakat ini menggunakan fatwa 16 tahun lepas?

Saya amat setuju dengan Uzar yang menyebut hadis Nabi SAW bahawa dunia ini adalah syurga kepada kafirun dan neraka kepada mukminin, akan tetapi adakah neraka mukminin itu dengan terpaksa membayar mahal untuk perbankan Islam? Atau neraka bagi mukminin kerana terpaksa hidup sederhana dengan berjimat cermat, menyewa rumah sahaja dan guna kenderaan awam? Dan jika para sahabat meninggalkan 9 dari 10 pendapatan kerana takutkan riba', adakah pendapatan dari perbankan islamik itu adalah tergolong dalam kelompok 1 per 10 yang diterima sahabat? Bukankah meninggalkan yang tidak jelas itu adalah lebih baik daripada cuba menggunakan sebanyak dalil mungkin untuk membolehkannya sedangkan ada dalil besar ditinggalkan (contohnya beri kelonggaran kepada peminjam). Sheikh Imran dan saya sebagai anak murid tidak rasmi beliau berjuang diatas landasan yang berbeza dengan Uzar, salah satu ungkapan Sheikh Imran mengapa beliau mengajar perihal riba' adalah kerana beliau melihat dunia yang semakin rosak, contohnya wanita yang terpaksa menjual diri dengan hanya 1 dollar. Alhamdulillah saya dikurniakan Allah SW dengan kerjaya yang membolehkan saya merantau keseluruh benua didunia ini dan melihat jurang perbezaan dari sekaya-kaya manusia hinggalah semiskin-miskinnya, saya tidak dapat berhenti dari memikirkannya mengapakah dunia menjadi sebegini rupa.

Sebab itulah saya wujudkan blog syurgadidunia ini dan menulis untuk memberi kesedaran agar syurga dapat diadakan untuk semua umat manusia dan bukan golongan tertentu sahaja. Apa yang saya inginkan untuk diri saya sendiri, saya juga mahukan ianya untuk insan lain dan ini tidak dapat dilakukan didalam dunia yang umatnya hanya mahu mengambil dan tidak mahu memberi. Dengan hanya mengambil sahaja dan tidak mahu memberi maka lama kelamaan akan ada golongan yang akan tertindas dan siapa lagi jika golongan miskin, lemah dan lebih-lebih lagi tidak punyai ilmu pengetahuan apatah lagi punya kroni atau pangkat dalam parti politik. Dan sistem perbankan baik islamik atau pun konvensional ini adalah salah satu sistem ciptaan barat yang membolehkan segolongan manusia hanya mengambil dan tidak pun memberi, jika diberipun, jumlahnya amatlah sedikit sekali dan tidak setimpal dengan jumlah yang diambil.

Nampak gayanya dunia Islam yang sudahpun berpecah belah, kini ditambah lagi dengan pecahan antara yang menyokong perbankan Islam dan juga yang menentang. Jika dipanggil bermuzakarah sekalipun persefahaman mungkin sukar dicapai, kerana apa? Kerana kedua-dua belah pihak memukul gendang yang berbeza, satu pihak memikirkan perbankan Islam dari segi membantu umat islam untuk mempunyai harta dengan dibiayai oleh sistem yang dihalalkan oleh helah yang dibolehkan dan juga bagaimana mendapat keuntungan dari konsep riba' yang dilabel sebagai perniagaan, dan satu lagi pihak pula adalah mereka yang tidak mahu umat Islam diperhambakan tanpa sedar oleh sistem perbankan yang mana kesan negatifnya bukan sahaja kepada segelintir individu tetapi kepada keseluruhan masyarakat itu sendiri baik yang berugama Islam atau tidak. Hanya apabila kedua-dua belah pihak mempunyai nawaitu atau niat yang beriringan, selari atau apa yang saya lebih suka gunakan iaitu sama frekuensi sahaja maka barulah persefahaman akan tercapai, dan nawaitu tersebut sepatutnya hanyalah untuk mendapat keredhaan Allah SW dengan menjaga kebajikan setiap umat manusia dan bukan segelintir golongan semata-mata.

Contohnya mengapa perbankan islamik tidak boleh memberikan harga yang murah, menurut Uzar ini tidak dibenarkan oleh Bank Negara kerana menjaga kepentingan bank lain, bukankah perbankan Islamik tidak sama dengan perbankan konvensional?, bank konvensional bagi pinjam, bank Islam bagi pembiayaan maka sepatutnya tiada masaalah. Yang akan menjadi masaalah nanti adalah pertama kerana keuntungan perbankan islamik kurang dari bank konvensional maka siapa yang nak melabur nanti, kasihanlah pelabur-pelabur Islam (yang tentunya kaya dan senang) tidak punyai cara untuk mendapatkan pulangan pelaburan yang "halal". Kedua jika ianya dibenarkan maka bisnes perbankan konvensional akan jatuh dan pelabur perbankan konvensional pula yang akan hilang tempat menghisap darah, jadi dalam kedua-dua kes, keuntungan pelabur yang diutamakan dan bukannya masyarakat kebanyakan yang majoritinya bukan pelabur dalam sistem perbankan, iaitu golongan miskin, tiada ilmu apatah lagi tiada kabel kroni untuk mendapat tempias nikmat hidup dari pemimpin yang korup.

Dan apabila menerangkan mengapa perbankan Islam tetap menuntut kembali wang yang dipinjamkan walaupun projek rumah terbengkalai, Uzar mengatakan itu untuk menjaga kepentingan ramai memastikan wang deposit penyimpan dikembalikan kepada yang berhak, kononnya menjaga kepentingan ramai, teramat hairan saya kerana menurut Professor Aziuddin dari KUIS yang pernah menjadi pengerusi Bank Muamalat selama empat tahun, begitu juga menurut Professor Ahamad Kameel Mydin Meera yang merupakan dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Isam Antarabangsa didalam bukunya Real Money, perbankan islam juga mencipta wang baru menerusi sistem pecahan simpanan melalui kemasukan akaun kira-kira sahaja (rujuk artikel Islamikkah Perbankan Islamik), barangkali Uzar tidak mengetahui amalan ini dilakukan oleh perbankan islamik dan bukan wang pendeposit yang digunakan. Jadi jika hanya wang yang dicipta "atas angin" ini sahaja diberikan kepada peminjam, mengapa perbankan Islam menuntut juga wang tersebut? Jadi siapakah agaknya yang tak belajar betul-betul nampaknya disini, Uzar atau professor yang telah saya sebutkan tadi? Dan jika wang pendeposit yang digunakan sekalipun, sudah tentulah kerugian itu sepatutnya ditanggung oleh pelabur-pelabur dan bukannya pendeposit dengan mengambil kira kesusahan dan kesempitan yang dialami oleh peminjam seperti yang Allah SW firman didalam ayat 280 didalam surah Al-Baqarah.

Kehidupan kita ini menurut fizik kuantum adalah bergantung kepada apa yang kita sendiri ingin lihat, baik tanpa sedar atau tidak, sebagai contohnya, jika kafirun membaca Al Quran dengan niat untuk mencari keburukan dan kepincangan maka itulah yang akan ditemui oleh mereka, sila lihat debat Dr Zakir Naik dengan Dr William Campbell yang mana Dr Campbell jelas cuba membuktikan kepincangan Al Quran akan tetapi berjaya dipatahkan oleh Dr Zakir Naik. Begitu juga dengan perbankan Islam, jika niat mahu membolehkannya, maka manusia akan temui banyak ayat-ayat Al Quran, hadis-hadis, cerita sejarah mahupun petikan kata-kata ulamak dulu-dulu yang seolah-olah membolehkannya (seolah-olah perbankan dengan wang kertas wujud dimasa itu), begitu jugalah seperti saya yang mempertikaikan perbankan islamik, pasti akan berjumpa dengan guru-guru yang sependapat dan juga menggunakan ayat-ayat Al Quran atau hadis-hadis yang lain untuk menidakkannya.
Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran. Surah Al Imran 3:7
Cinta itu buta dan sains telah pun membuktikannya, walaupun kajian sains tersebut berkenaan cinta sesama manusia, pada pendapat saya begitu juga jika kita cintakan sesuatu yang lain contohnya wang, harta, kuasa dan nama. Kita hidup didalam dunia yang mengejar nikmat, baik diluar ataupun didalam diri manusia itu sendiri. Jika cinta sesama manusia menyebabkan otak merembeskan banyak kimia (neurotransmitter) dopamine yang memberikan kesan lebih hebat dari dadah kokain (ganjaran dalaman), ganjaran luar yang kita perolehi seperti wang, pangkat dan nama juga pasti akan membutakan mata kita dari melihat kebenaran yang nyata. Jika kita cintakan perbankan Islam kerana ianya memberikan kita peluang untuk memiliki rumah atau kereta dengan cepat tanpa perlu bersusah payah (nikmat mudah) ataupun dibayar gaji oleh sistem perbankan itu sendiri, maka cinta itu juga akan membutakan pandangan kita dari kebolehan untuk melihat keburukannya. Kes Uzar lawan Sheikh Imran ini ibarat anak yang tidak mahu menerima nasihat ayahnya kerana sudah jatuh cinta dengan insan yang tidak dipersetujui oleh ayahnya itu, walau apa pun hujah ayahnya itu pasti akan ditangkis oleh anaknya yang sudah tenggelam dan buta kerana dilamun cinta.

Niat saya menulis ini bukanlah untuk menjatuhkan atau memburukkan sesiapa akan tetapi kebenaran tetap ditegakkan walaupun apa jua harga yang terpaksa dibayar. Apa yang saya nyatakan disini atas dasar kasihan terhadap mereka yang menyokong sistem perbankan, pada pandangan saya mereka juga telah tersilap "methodologi" (pinjam kata Uzar) dan disebabkan saya kasihan dan prihatin kepada mereka itulah lantas saya cuba memberikan kesedaran dan bersama dalam landasan kearah kemajuan ummah menerusi keadilan ekonomi. Lagipun ilmu yang saya miliki ini juga akan dipersoalkan oleh Allah SW nanti. Agak-agaknya adakah saya akan disoal oleh Allah SW diakhirat kelak "wahai engineer, mengapa kamu melarang sipolan buat pembiayaan perbankan islamik, tak kesian ke sipolan tu menyewa sahaja", atau disoal "wahai engineer, dengan ilmu yang aku berikan kepada kamu itu mengapa kamu tidak tidak melarang manusia dari mengambil pembiayaan islamik sampai berhutang berganda-ganda, kena kerja teruk laki bini, sembahyang pun takde masa, anak-anak terabai dan sebagainya sedangkan kamu tahu itu riba" ikut pintu belakang?", rasanya tentulah nak jawab soalan yang pertama lebih senang, sebab menyewa tak salah, tiada harta dunia tak salah, tetapi jika disebabkan kita insan lain dibeban hutang, solat tak jaga, anak terabai, menyumbang kepada inflasi dan menindas ramai manusia rasanya lama lah nanti tersangkut kat padang masyar.

Saya melihat sistem perbankan dari perspektif yang berbeza, dari sudut yang lebih menyeluruh terutamanya kesan kepada masyarakat. Dan untuk melihat kesan lebih menyeluruh ini, pasti tidak akan saya dapat lihat hanya dengan belajar bab enjin sahaja, sebab itulah saya juga membaca dan juga belajar dan berguru dalam pelbagai bidang termasuklah perbankan, dalam bab perbankan Islam ini pula adakah hanya kerana guru yang saya ikuti mengatakan perbankan Islam riba' ikut pintu belakang juga "triple" riba' maka saya dianggap tidak betul, tidak belajar betul-betul bak kata Uzar. Betul atau tidak itu pun relatif, sama seperti Teori Relativiti Einstein, semua bergantung kepada titik rujukan. Dengan ilmu yang pelbagai ini kita boleh gunakan ianya untuk menjelaskan suatu perkara atau masaalah lain dari sudut yang berbeza, sebagai contohnya bab dosa dan pahala saya cuba jelas dan kaitkan dengan fizik dan bagaimana wang haram yang kita miliki akan lari dari kita saya gunakan konsep "thermodynamic" dalam artikel Tiada Yang Percuma Didunia Ini apabila saya bicarakan mengenai air panas didalam gelas. 
Anas RA berkata beliau mendengar Nabi SAW bersabda: "Antara tanda-tanda hari kiamat adalah hilangnya ilmu dan semakin banyaknya kejahilan... (Bukhari, Muslim)
Definasi hipnosis atau pukau bagi masyarakat kita mengikut American School of Hipnosis adalah "open to suggestion" iaitu menerima sepenuhnya apa sahaja cadangan atau suruhan yang diberikan. Manusia kebanyakan saban hari dihipnosis tanpa sedar oleh TV, media, filem, iklan dan termasuklah juga apa jua cadangan yang diberikan lebih-lebih lagi dari insan yang popular baik artis-artis mahupun ustaz-ustaz. Kebanyakan manusia menerima tanpa mereka sedar apa sahaja yang disuapkan, disarankan, dilakukan, diaksikan, dilakonkan dan dinyatakan oleh mereka. Untuk mengurangkan kesan hipnosis itu kita perlulah melihat dan mendengar apa yang dinyatakan itu dengan diikuti oleh pemikiran kritis, harus timbul pertanyaan didalam minda adakah apakah yang di kemukakan itu benar yang sebenar-benarnya dari pelbagai sudut baik rohani mahupun jasmani, dari sudut akhlak mahupun sudut agama. Dan ini tidak boleh dilakukan dengan berkesan jika seseorang manusia itu kekurangan jaringan neuron yang berbeza didalam otaknya akibat kurangnya pendekatan ilmu. Jadi budaya mengkayakan ilmu itu amat penting untuk pemikiran kritis.

Pada pendapat saya masaalah umat Islam akhir zaman ini adalah kerana kurangnya ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang maka apabila pemikiran kritis tidak dilakukan, apa sahaja yang disogokkan, terutamanya apa yang sesuai dengan cara hidup (yang sudah tentulah ikut cara barat berkat hipnosis dari tv) maka ianya amatlah mudah diterima bulat-bulat. Bukankah menuntut ilmu itu wajib bagi semua umat Islam baik lelaki dan wanita, akan tetapi jika saya bekerja sebagai engineer, adakah saya hanya patut tumpukan pembelajaran saya pada bab enjin sahaja? Perlu diingatkan pengkhususan pekerjaan juga adalah salah satu strategi kapitalis untuk mengoptimum dan menambahkan kecekapan tenaga kerja golongan kebanyakan, untuk apa? Untuk memastikan apa jua pelaburan mereka akan lebih terjamin dan juga akan memberikan pulangan yang lumayan, dan tenaga kerja ini kemudiannya dilenakan dan didodoikan dengan mimpi yang indah, dibawa ke alam fantasi menerusi hiburan baik tv, musik, video, filem, sukan, facebook, porno, arak, rumah urut, karaoke dan sebagainya. 

Apa yang perlu dilakukan apabila kita tidak tahu? Tentulah samada belajar atau bertanya kepada yang tahu, akan tetapi pada pendapat saya perlulah juga kita bertanya kepada beberapa guru yang berbeza dan juga memikirkan apakah motif mereka? Jika kita ditimpa penyakit kronik bukankah selalu kita mendapatkan pandangan dari beberapa doktor pakar yang lain, kerana apa? Kerana badan kita yang sakit jadi jika salah diagnosis akibatnya kita sendiri yang menanggungnya nanti. Begitu jugalah sepatutnya dalam bab kewangan ini, bukankah wang itu "darah" yang menjana kehidupan didunia ini dan jika riba' adalah dosa yang diperangi oleh Allah SW maka bukankah lebih baik jika kita meminta pendapat beberapa "doktor" perbankan Islam ini. Masaalahnya ramai tokoh profesional pakar didalam perbankan Islam yang menentang praktis yang diamalkan oleh perbankan Islam semasa ini tidak dikenali ramai, kerana apa? Kerana media dikawal oleh pemerintah zalim memang tidak akan memperketengahkan golongan sebegini baik melalui media ataupun kebebasan untuk memberikan ceramah-ceramah terbuka seperti dimasjid kerana ianya tidak selari dengan agenda mereka iaitu untuk terus kekal berkuasa, dan bagaimana untuk terus kekal berkuasa? Caranya adalah dengan memastikan rakyat kekal lemah dengan tidak punyai kebebasan baik dari ekonomi (riba' baik pintu depan atau belakang) mahupun minda (tiada kebebasan media, tidak menggalakkan budaya ilmu dan sengaja melebih dan mengutamakan hiburan) apatah lagi melabelkan mereka yang memperjuangkan kepentingan rakyat sebagai pembangkang, merosakkan keharmonian masyarakat, guna ISA dan sebagainya.

Jika saya diperli oleh Uzar kerana kurangnya ilmu agama, mungkin saya akan mendiamkan diri sahaja, akan tetapi jika saya sebagai engineer hanya perlu belajar bab enjin sahaja, tidak perlu kaji bab wang yang saya gunakan hari-hari ini apatah lagi hanya patut menerima sahaja pendapat ustaz perbankan islamik tersohor maka amatlah saya tidak bersetuju dan tidak mampu hanya mendiamkan sahaja. Perintah Allah SW kepada manusia yang pertama adalah "Iqra" iaitu baca tetapi adakah untuk Nabi SAW sahaja? Dan adakah mendalami ilmu itu hanya pada ilmu yang berkenaan kerjaya kita sahaja? Ilmu didunia ini sebenarnya ibarat salah satu kepingan dari kepingan-kepingan "jigsaw puzzle" kehidupan, jika kita hanya temui sekeping sahaja (belajar satu ilmu sahaja) maka amat sukar untuk kita mengetahui realiti sebenar kehidupan, akan tetapi jika kita mempelbagaikan ilmu maka, lebih banyak kepingan "puzzle" yang akan kita temui maka apabila kita cantum-cantumkan dan cuba melihat kaitan antara mereka maka lama kelamaan makin jelaslah realiti kehidupan itu sebenarnya. Ini telah saya buktikan dengan mengkaitkan pelbagai ilmu dari artikel lepas sebelum ini dengan artikel semasa.

Dunia akhir zaman ini juga penuh dengan muslihat dajjal yang mana air yang sejuk rupanya api yang  panas menyala, dan untuk melihat muslihat itu kita perlu bersusah payah sedikit dengan berusaha mendalami pelbagai ilmu (bukan susah payah bayar lebih kepada perbankan Islam), dan apabila kita mampu melihat mana satu api dan mana satu air maka tidaklah mudah kita akan terpedaya. Saya minta rakan-rakan semua menyahut cabaran saya ini untuk mendalami ilmu dan mulakannya dengan memahami terjemahan Al Quran, sebab itulah saya telah lancarkan kempen Satu Rumah Satu Terjemahan Al Quran agar pemahaman akan tercapai, faham akan suruhan dan larangan Allah SW yang mana akan membina jaringan-jaringan baru neuron didalam otak dan kemudiannya akan menjadi salah satu cabang penilaian yang akan digunakan oleh frontal lobe untuk membuat keputusan didalam kehidupan. Belajar atau mengetahui suatu yang baru itu adalah membuat jaringan neuron yang baru didalam otak, mengingatinya pula adalah untuk memastikan jaringan itu terus wujud. Walaupun apabila kita membaca sesuatu itu, besar kemungkinan kita tidak mampu mengingatkan kesemuanya (kecualilah jika punyai kemampuan seperti Lawrence Kim Peek) akan tetapi sekurang-kurangnya kita tahu dimana rujukan yang boleh kita buat ataupun apabila perkara itu dibicarakan, pasti akan terdetik seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena apatah lagi jika ianya sengaja ditinggalkan, contohnya apabila ayat 280 surah Al Baqarah itu sengaja tidak mahu diulas oleh ahli perbankan islamik.
Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi allah (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda. Surah Ar-Rum 30:39
Harta yang berkembang biak dari keringat insan lain apatah lagi dengan mendapatkannya dengan pelbagai helah itu tidak akan mendapat keredhaan Allah SW, hanya dengan sedekah dan tolong sesama insan dan bertakwa iaitu menyerahkan ganjarannya itu kepada Allah SW semata-mata, ini bukan bermaksud tidak boleh mencari nikmat dan harta dunia akan tetapi ianya mestilah dilakukan dengan tidak menganiaya insan lain yang lemah apatah lagi kurang berpengetahuan. Jiran saya semasa membuat tesis diuniversitinya dahulu pernah ditempelak oleh pensyarahnya kerana rakan saya itu tidak bersetuju dengan cara perbankan islamik, "Kalau macam tu buat bank kebajikan je lah..." kata pensyarah beliau, ya, pada pendapat saya memang bank sebegitulah yang patut diwujudkan, bank yang menjaga kepentingan semua rakyat dan bukan bank yang menjaga kepentingan segelintir golongan terpilih sahaja. Sebab itu didalam artikel saya sebelum ini saya mencadangkan bank diseliakan oleh kerajaan yang adil dengan tidak mengambil untung (ataupun bayaran minima seperti dihospital kerajaan sekarang ini) dan tidak memerah keringat rakyat, manakala hospital yang diswastakan sepenuhnya. 

Apa sahaja ilmu dan permasaalahan didalam dunia ini tidaklah susah, apabila kita tahu asasnya maka amat mudah untuk memahami. Contohnya bab zakat, asas zakat itu adalah tolong-menolong sesama insan, membantu yang miskin dan juga menyucikan harta. Apabila ini disematkan didalam hati maka kita akan dengan rela hati, tenang dan gembira untuk melakukannya, minda yang tenang ini mudah menyelesaikan masaalah (rujuk artikel Mengapa Bila Marah Duduk), jadi nak buat perkiraan pun mudah. Yang menyebabkan susah nak kira adalah apabila kita punyai sifat bakhil, kedekut, tak ikhlas dan takut terbayar lebih, dalam keadaan begini memanglah otak payah nak kira. Berbalik kepada bab riba' ini asasnya adalah untuk mengelakkan penindasan dan perhambaan (kekayaan bertambah hasil usaha insan lain) , maka dari situ kita boleh lihat samada ianya riba' atau tidak. Yang susahnya adalah untuk memutar-belitkan riba' iaitu untuk membolehkannya, sebab itulah pelbagai helah terpaksa digunakan, begitu jugalah sistem ekonomi konvensional yang penuh dengan pelbagai kata-kata teknikal yang pelik agar tidak difahami oleh manusia kebanyakan, dan apabila ianya tidak difahami maka mudahlah manusia itu dikotak-katikkan.

Saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa fatwa, apa yang saya nyatakan dari artikel-artikel saya ini juga bukanlah hanya pendapat saya sendiri semata-mata malah kebanyakannya juga saya rujuk hasil kerja profesional lain. Takkanlah dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa professional yang tidak bertauliah. "Triple" riba' perbankan Islam itu pun saya ambil dari kenyataan salah seorang ahli panel didalam persidangan riba yang lepas, dan beliau adalah bekas pengerusi salah sebuah organisasi perbankan islamik dinegara kita. Jika anda tidak bersetuju dengan pendapat saya, itu sepatutnya tidak memberikan apa-apa impak kepada anda semua, kita semua punyai jaringan neuron yang berbeza diotak dari ilmu yang dipelajari, pengalaman, pembacaan dan sebagainya maka sudah pastilah pendapat berbeza-beza, anggapkanlah ianya umpama perbezaan antara penggemar durian dan yang tidak, yang suka bola dan tidak dan sebagainya. Jika anda selesa dengan perbankan islamik, maka teruskan sahajalah, tugas saya sebagai penyampai maklumat sudah selesai dan insyaallah moga saya tidak akan dipersoalkan diakhirat kelak nanti keatas ilmu yang saya miliki.
Azab yang demikian ini disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya. Surah Al-Haj 22:10
Dan apa jua yang menimpa kamu dari suatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. Surah Ash-Shura 42:30
Tetapi mesti ingat, tiada yang percuma didunia ini, ada harga yang terpaksa dibayar iaitu dibalas didunia ini mahupun disoal dan dibalas oleh Allah SW diakhirat kelak, jika ada musibah atau masaalah hidup yang anda hadapi contohnya telah ataupun takut akan dirompak atau dicuri maka janganlah pula nak menyalahkan takdir atau menganggap secara semulajadinya manusia mahu menjadi pencuri, kita tidak tahu adakah itu benar-benar takdir kita atau ianya balasan akibat perbuatan kita sendiri kerana ingatlah bahawa Allah SW tidak pernah menganiaya hamba-hambanya dan Allah SW telah pun memberi amaran bahawa apa sahaja keburukan yang melanda adalah akibat perbuatan sendiri. Selidikilah kehidupan anda selama ini adakah ianya tidak jemu-jemu dari kesukaran, kepayahan dan pelbagai masaalah. Inilah akibatnya jika kita diperangi Allah SW dan rasulNya saban hari. Saya cuma mahu rakan-rakan menjadi lebih bertanggungjawab didalam kehidupan dan berkuasa mengawal dan memilih suasana kehidupan yang aman dan harmoni sebagaimana yang kita semua inginkan dengan berlandaskan syariah, dan pada masa juga menjaga kebajikan dan kepentingan masyarakat sekeliling, itulah tugas kita sebagai khalifah dimuka bumi ini iaitu pemimpin yang dan bukannya untuk diri sendiri sahaja semata-mata, bak kata Uzar didalam ceramahnya akan lima perkara yang akan dipersoalkan oleh Allah SW diakhirat kelak.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala disisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlaku sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berduka-cita. Surah Al-Baqarah 2:277
Ahamdulillah hidup saya lebih tenang dan aman sejak saya menggunakan pendekatan lain didalam kehidupan. Sebagaimana saya mahukan "syurga" untuk diri saya sendiri, begitu jugalah saya mahukan untuk insan-insan lain. Berfikir dengan cara yang sama dengan melihat dari perspektif yang sama yang mana akan menyebabkan kita bertindak dan melakukan perkara yang sama hanya akan memberikan kualiti kehidupan yang sama. Jika kita mahu ubah kehidupan baik untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan juga alam sekitar, kita patut memulakannya dengan mengubah cara kita berfikir dan cuba melihat dunia dari perspektif yang berbeza, barulah perubahan akan terhasil. Akan tetapi jika kita hanya menjadi pengikut atau pak turut kepada apa sahaja yang disogokkan terutama oleh kerajaan yang korup menerusi media yang dikawal oleh mereka apatah lagi tenggelam dalam dunia hiburan maka kita akan berterusan menjadi hamba kepada mereka, menjadi rakyat dan pekerja yang taat dan setia dibawah perhambaan ekonomi halus dan tidak kelihatan ini (dibutakan oleh cintakan dunia dan lupakan akhirat).

Akan tetapi bagi rakan-rakan yang telah terguris hatinya apabila membaca penjelasan saya ini, sayu, sedih dan rasa telah berdosa (seperti saya semasa mula-mula menyedarinya dulu) maka ingatlah bahawa Allah SW itu maha pengampun lagi maha penyayang , saya telah pun memberikan pandangan dan cadangan akan langkah-langkah yang boleh diambil agar kita semua diampun oleh Allah SW. Telah tetap pendirian saya akan haramnya praktis perbankan islamik yang diamalkan sekarang ini malah lebih buruk dari perbankan konvensional. Bagi yang setia dengan perbankan islamik jangan berkecil hati, marah, melatah dan sebagainya, saya hanyalah engineer dan bukan ahli perbankan syariah, dan apa yang engineer ini suarakan tidak boleh atau janganlah dianggap sebagai fatwa, apa yang "professor engineer" ini cuba berikan hanyalah ketukan minda untuk mereka yang mahu berfikir. Berfikirlah ikut akal yang di sirami dengan pelbagai ilmu dan janganlah berfikir ikut rasa. Didalam dunia maya ini sesiapa pun bebas memberikan pendapat, terpulanglah pada diri anda untuk menilai dan menerimanya.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share
"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas