Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Selasa, 23 September 2014

Encik Ni Nak Saman Laaa…

Kisah ini berlaku kepada saya beberapa tahun yang lepas dan disini saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan untuk manafaat bersama. Saya yang memandu kereta telah membuat pusingan U ditempat yang tidak dbenarkan dan telah ditahan oleh pihak berkuasa sejurus selepas itu.

Pegawai: Encik tahu mengapa Encik ditahan kan? Tadi Encik membuat pusingan u dikawasan yang tidak dibenarkan.

Saya: Ya Encik, saya tahu dan saya minta maaf. Nak cepat tadi.

Pegawai: Jadi macamana nak selesaikan kan ni?

Saya: Maksud Encik?

Pegawai: Ye la kan kalau kes macam ni sepatutnya kena saman.

Saya: Saman? Takpe Encik, bagi saya saman.

Pegawai: Nak saman?

Saya: Ya Encik, tolong saman saya.

Pegawai: Kejap ya.

Pegawai tersebut beredar seketika dan kedengaran dia memberitahu pegawai atasannya, "Sarjan… Encik ni nak saman laa…"

Tidak lama kemudian pegawai atasan tersebut menghampiri saya dan memberitahu kepada saya, "Encik, kali ini saya lepaskan tetapi lain kali jangan buat lagi ya"


Saya pun beredar dari situ dengan syukur yang teramat sangat kepada Allah SW, kerana apa? Pertamanya kerana saya tidak disaman dan kedua kerana saya tidak bersubahat didalam melakukan perkara yang dikeji perosak umat dan masyarakat iaitu rasuah.

Prinsip saya amat mudah, jika wang yang ada ditangan kita itu benar-benar milik kita, maka saya percaya wang tersebut akan kekal bersama kita selagi kita menunaikan hak insan lain iaitu penerima zakat (zakat juga selari dengan hukum alam iaitu prinsip entropi fizik). Jika wang kita itu hilang dijalanan atau dirompak sekalipun atau didalam cerita saya diatas saya terpaksa membayar saman, oleh kerana Maha Adilnya Allah SW itu maka wang yang "hilang" tersebut pasti akan kembali semula ketangan kita. Jika tidak dalam bentuk wang ringgit mungkin dari bentuk lain umpamanya tubuh badan yang sihat ataupun anak-anak dan isteri mithali penyejuk hati penenang jiwa. Akan tetapi jika wang yang berada didalam tangan kita itu bukan hak milik kita, samada diperolehi dari kerja yang tidak amanah (contohnya sila rujuk artikel Kerja Halal, Gaji Tidak), mengambil rasuah, menipu, mencuri, rasuah dan sebagainya maka ianya akan "lari" daripada kita dengan pelbagai cara, salah satunya caranya mungkin disaman seperti cerita saya diatas.

Wang adalah balasan yang kita terima dari "tenaga" yang kita berikan samada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan, jadi wang adalah bersamaan dengan tenaga dan tenaga tidak dapat dimusnahkan, hanya boleh berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain. Kita mungkin boleh menyimpan wang kita tersebut samada didalam akaun bank atau dibawah bantal, akan tetapi wang sebenarnya hanyalah mewakili "tenaga" yang disimpan dan kita adalah pemegang amanahnya. Dunia fizikal nampaknya didalam genggaman kita umpamanya wang tersebut. Kita ada bank yang dikawal oleh pengawal dengan senjata api, begitu juga dengan kediaman kita yang sudah dipagar dan dipintu masuknya ada warga Nepal atau Bangla yang taat memeriksa setiap orang yang keluar masuk kekawasan rumah kita itu untuk "menjaga" keselamatan kita dan juga harta benda (wang ringgit) kita itu tadi.

Akan tetapi misterinya dunia zarah-zarah sub-atomik, kita tidak boleh mengawal secara langsung akan zarah-zarah tersebut, hanya kemungkinan dan kebarangkalian sahaja. Ini bermakna kita tidak mampu untuk mengawal dunia sub-atomik tersebut. Contohnya, tidak kira secanggih mana sekalipun bekas/botol (flask) penyimpan air panas, pasti selepas beberapa hari kesemua tenaga yang ada pada air yang disimpan didalam bekas tersebut akan hilang dan air tersebut akan sama dengan suhu keadaaan persekitarannya. Adakah kita boleh pasti selepas beberapa hari atau jam air tersebut akan hilang kepanasannya? Mungkin boleh akan tetapi amat mustahil untuk benar-benar mengira contohnya sekarang ini air tersebut bersuhu 80 darjah celcius maka selepas 6 jam 10 minit dan 5 saat suhunya akan menjadi 75.3 darjah celcius. Konsep ini samalah juga dengan bahan radioaktif yang mana kita hanya mengagak sahaja "half life" atau separuh hayatnya kerana radiasi zarah-zarahnya tidak dapat dikira oleh kita sebagai manusia.

Jadi siapa yang mengawal dunia sub-atomik ini? Jawapannya adalah Allah SW. Dialah yang Maha Adil dan lagi Maha Penyayang, yang akan merencanakan dunia ini untuk memastikan rezeki kepada semua umat manusia tidak kira yang menyembahNya ataupun tidak. Mungkin ada yang bertanya, "Jika Allah SW Maha Adil, mengapa yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin?". Jawapannya adalah kerana sistem ekonomi dan kehidupan yang kita amalkan masa kini berasaskan riba' dan rasuah yang telah memastikan kekayaan hanya bergerak kesatu arah sahaja iaitu samada yang kaya, yang berkuasa atau kedua-duanya iaitu yang kaya dan berkuasa.

Jadi apa yang boleh kita lakukan untuk menghentikan aktiviti "menggali kubur sendiri" umat manusia masa kini? Jawapannya adalah dengan menolak sistem ekonomi riba' dan juga menolak, mengeji dan tidak terlibat sama didalam memberi rasuah. Ini termasuklah menolak pemimpin-pemimpin yang mengamalkan budaya tersebut. Masaalahnya zaman sekarang ini (jika diambil dalam kes memberi rasuah), kebanyakan kita lebih sanggup untuk memberi rasuah kerana wang yang "hilang" adalah kecil berbanding dengan nilai saman yang sebenar, maka oleh sebab itu walaupun tahu berdosa memberi rasuah tersebut kebanyakan kita tetap meneruskannya. Kita semua telah terlupa akan ayat seribu dinar yang mana jika kita bertaqwa, Allah SW akan memberikan kita rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka. Mungkin dengan berkat taqwanya kita itu dengan menolak memberi rasuah dan meminta disaman (dan saman selalunya ada tempoh masa tertentu untuk dibayar), mungkin Allah SW akan memberikan kita rezeki berganda-ganda dari sumber yang tidak disangka-sangka untuk membayar saman tersebut, akan tetapi taqwa sahaja bukan sahaja itu syaratnya, perlu juga pasti adakah duit yang ada pada tangan kita itu benar hak milik kita.

Dan bagaimana untuk memastikan wang yang ada ditangan atau didalam simpanan kita itu benar-benar milik kita? Jawapannya adalah dengan menjadi "pemerhati yang hebat" kepada setiap pemikiran yang akan menjadi tindak tanduk dan perbuatan kita. Saya percaya apa yang kita alami didunia ini adalah hasil dari perbuatan dan tindak tanduk kita sebelum ini. Jika akar lalang yang kita tanam, tidak akan dapat kita menuai padi. Jika ingin dunia yang aman, harmoni dan penuh dengan kasih sayang, kita perlulah menjadi ajen-ajen kepada perubahan tersebut dengan sendiri melakukannya iaitu menabur "benih-benih kasih sayang" tersebut kepada seluruh umat manusia.

Kita semua mungkin boleh lari dari peraturan yang dicipta oleh manusia (seperti kes saya ini tidak disaman) akan tetapi kita tidak akan dapat lari dari hukum-hukum Allah SW. Dosa yang memberi, mengambil, menulis dan saksi kepada riba' adalah sama malah mungkin rasuah juga adalah salah satu dari 70 jenis riba' yang disebut oleh Nabi SAW. Bagi yang kaya dan semakin kaya dengan riba' dan rasuah, teramatlah saya kasihan kepada mereka kerana jika tidak dilihat dari hukum Allah SW sekalipun, dari sudut fizik dunia kuantum mereka adalah terdiri dari golongan yang rugi, cuma masa sahaja yang menentukan balasannya samada didunia ataupun diakhirat. Moga menjadi manafaat bersama, peringatan dan ketukan minda untuk saya dan mereka yang mahu berfikir. Wallahualam.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Sabtu, 12 Julai 2014

Surat Terbuka Kepada Dr. Azizan Osman


Assalamualaikum Dr. Azizan,

Alhamdulillah, teramat bersyukur saya kepada Allah SW kerana telah diberi kelapangan untuk
menghadiri seminar IMKK Jun 2104 anjuran Dr. Banyak perkara yang telah saya pelajari disamping menguatkan kembali apa yang telah saya pelajari sebelum ini dari pembacaan-pembacaan saya yang mana telah pun banyak saya kongsikan bersama rakan pembaca menerusi artikel-artikel yang saya telah tulis didalam blog SyurgaDiDunia ini. Dr juga pada suatu ketika memberitahu kepada para hadirin bahawa jika kita inginkan syurga, kita juga perlu perlu untuk bersikap seperti kita sudah berada didalam syurga, ini amat mengejutkan saya kerana itu juga adalah matlamat blog saya ini ditulis.


Penekanan Dr. kepada pentingnya solat didalam kehidupan kita sehari-harian amatlah penting untuk memastikan seorang itu boleh berjaya didalam kehidupan, bukan sahaja untuk akhirat akan tetapi juga untuk didunia. Solat bukanlah untuk Allah SW, perintah solat keatas manusia itu sebaliknya adalah rahmatNya kepada manusia kerana dari solat itulah akan menguatkan bahagian otak yang akan membantu seseorang itu untuk mencapai cita-citanya, bahagian itu adalah lobus frontal. Semakin kuat lobus frontal seseorang itu, semakin kuat fokus seseorang itu, semakin berdisiplin, kreatif, mampu menyelesaikan masaalah dan sebagainya. Solat adalah latihan kepada fokus untuk manusia itu mampu kekal komited untuk mencapai matllamatnya itu. "Manusia"nya seseorang manusia itu bergantung kepada bahagian ini yang tiada atau kecil berbanding dengan haiwan. Insyaallah pada kursus akan datang mungkin Dr. boleh kaitkan bagaimana solat mampu menjaga bahagian otak yang penting untuk manusia ini. Rokok seperti yang telah didemonstrasikan oleh Dr. kepada para peserta bukan sahaja melemahkan badan mereka malah ia merosak dan melemahkan lobus frontal manusia itu. Lemahnya bahagian tersebut menyebabkan manusia tidak mampu berwawasan, berpandangan jauh dan mampu untuk fokus mencapai matlamat kehidupannya baik didunia mahupun diakhirat.



Dr. juga menekankan perlunya menutup aurat bagi kaum wanita malah ianya juga diakui oleh salah seorang pelajar didikan Dr. yang telah berjaya pada hari kedua seminar tersebut. Jika Dr. melihatnya dari sudut aura, saya pula melihatnya dari sudut bagaimana wanita membantu untuk lelaki lebih fokus kepada tanggungjawab mereka menjadi pemimpin yang hebat dengan membantu tidak mengalihkan fokus mereka itu. Lelaki yang terdedah dengan aurat-aurat wanita menyebabkan mereka menjadi bodoh dan tidak dapat fokus kepada usaha-usaha yang lebih besar dan hebat untuk kebaikan umat. Dan apa yang telah mereka lakukan itu iaitu mendedahkan aurat-aurat akan kembali semula kepada mereka didalam bentuk-bentuk masaalah-masaalah terhasil akibat dari lelaki-lelaki yang menjadi semakin bodoh dan tidak bertanggung jawab.

Tersenyum sinis saya mendengar Dr. menyatakan yang orang kita lebih percayakan "Mat Saleh" untuk bercakap didepan mereka berbanding Dr. sendiri sebagai orang Melayu. Ini adalah bukti basuhan minda yang telah berjaya dilakukan oleh barat sedari terhadap masyarakat kita khasnya dan kepada masyarakat dunia amnya sedari kita kecil lagi. Hanya sekali sahaja didalam sejarah terdapat "Superhero" berkulit gelap, yang lain-lainnya semua "orang putih" baik Superman, Superwomen, Batman, Fantastic Man, Spiderman dan sebagainya. Ini menyebabkan pemikiran kebanyakan kita "taksub" akan kehebatan "mat-mat & minah saleh" ini. Superhero berkulit gelap hanyalah Will Smith didalam filem Hancock yang dikeluarkan sebelum pilihanraya Amerika yang mana telah dimenangi oleh Obama. Ini contoh jelas bagaimana filem-filem dan kartun-kartun telah digunakan untuk mencorak pemikiran umat manusia. 

Banyak lagi perkara-perkara kebaikan yang saya dapati dari seminar Dr. itu untuk saya ceritakan disini akan tetapi saya fikir biarlah ianya dialami sendiri oleh para pembaca yang bakal menghadiri seminar Dr. nanti insyaallah. Moga artikel yang saya tulis ini akan menjadi pemangkin kepada mereka bertindak sedemikian demi kebaikan mereka juga. Akan tetapi sebelum saya akhiri surat saya ini, izinkan saya mengutarakan beberapa perkara yang mana saya mempunyai pandangan berbeza dengan Dr. dan diharap agar ianya dapat dipertimbangkan semula oleh Dr. sebelum disampaikan kepada bakal pelajar-pelajar Dr. didalam seminar akan datang.

"Hidup Umpama SATU Perjuangan, Hanya Yang Luar Biasa Akan Menang"

Saya setuju hidup adalah satu perjuangan, akan tetapi kalah menang sepatutnya bukanlah diantara sesama manusia sebaliknya diantara yang "haq" dan yang "bathil". Kalah menang sesama manusia adalah falsafah yang telah berjaya diterapkan oleh Darwin menerusi teori evolusinya. "Preservation of Favourite Races in The Struggle For Life" adalah tajuk kecil buku tersohor beliau itu yang mana telah banyak menyebabkan kerosakan, perbalahan dan penindasan sesama manusia. Hidup bukanlah untuk kalah dan menang, kesempurnaan hidup adalah berkat kerjasama bukan sahaja sesama manusia malah begitu juga "kerjasama" manusia dengan alam sekitar. kita sepatutnya berusaha untuk menang dan menang seperti yang ditekan kan oleh Dr. Stephen Covey didalam "Habit 4" beliau iaitu "Think Win-Win". Saya fikir itu adalah apa yang Dr. ingin sampaikan akan tetapi mungkin cara bagaimana ianya ditulis terutamanya pada muka hadapan "workbook" perlu diubah suai agar minda para hadirin di"set"kan kearah itu sedari awal membelek "workbook" tersebut.

"Financial Freedom (Bebas Kewangan) Menerusi Pelaburan di Bank & Saham"

Akaun simpanan tetap atau "fix deposit account" adalah riba' yang paling jelas dan nyata. Satu-satunya dosa yang mana manusia itu diperangi oleh Allah SW adalah dosa riba' 


Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.(Al Baqarah 2-279)


Wang tidak boleh bertambah dengan masa, wang hanya boleh bertambah dengan usaha iaitu melalui perniagaan. Melalui perniagaan, pintu risiko akan senantiasa terbuka untuk Allah SW mengagihkan kekayaan agar ia akan tersebar sama rata dikalangan masyarakat. Apabila kekayaan hanya bergerak hanya kesatu arah sahaja seperti didalam simpanan tetap maka kita telah menutup pintu risiko, apabila pintu risiko tertutup, kita telah menidakkan salah satu cara pengagihan kekayaan didalam masyarakat dan ini adalah riba', suatu yang amat dimurkai Allah SW hinggakan Allah dan Rasul telah mengishtiharkan perang terhadap sesiapa yang melakukannya. 

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Riba itu terbahagi kepada 70 jenis dan yang paling kecil sekali dosanya adalah umpama melakukan zina dengan ibu sendiri. (Ibn Majah, Baihaqi)

Amatlah bercanggah dengan saranan sayangkan ibu kita yang kerapkali ditegaskan oleh Dr. didalam seminar tersebut sekiranya kita secara halus "berzina" dengan ibu sendiri melalui penglibatan kita dengan riba' baik bagi mereka yang memberi, menerima, menjadi saksi mahupun yang mencatat urusan riba' tersebut. Dari 70 puluh jenis itu pula saya pasti salah satu daripadanya adalah dari permainan saham. Jual beli saham dan FOREX tidak lain hanyalah perjudian yang dihalalkan. Apabila kita "menang" didalam perjudian tersebut, pasti akan ada yang "kalah". Perlu kita fikirkan sedalam-dalamnnya apakah nilai yang kita beri kepada orang lain menerusi "permainan" jual beli saham dan FOREX itu tadi? Pengkritik barat telah lama mengakui akan jual beli saham ini adalah satu sistem yang korup, mampukah kita pastikan "keuntungan" yang kita dapati itu benar-benar halal dan diberkati Allah?




Ini pula ditambahkan dengan apakah wang itu sebenarnya pada hari ini? Semua wang adalah terhasil daripada hutang. Ini bermakna bagi setiap ringgit yang masuk kedalam poket kita, maka akan terdapat seorang yang juga berhutang sebanyak satu ringgit. 


Harga rumah yang tinggi tidak membuatkan kita kaya, malah semakin miskin. Keuntungan yang kita dapat dari pelaburan hartanah (seperti yang dilakukan oleh koperasi kelolaan DR) akan hanya membuatkan segelintir manusia sahaja yang kaya dan rata-rata lain yang tidak bernasib baik akan menjadi semakin miskin dan bertambah miskin. Maka tidak hairan lah mengapa masaalah sosial masyarakat kita pada hari ini saban hari semakin tenat keadaannya.




Usaha Dr. menubuhkan koperasi PUSB untuk golongan yang kaya dan berjaya amatlah baik untuk membantu masyarakat kita terutamanya bangsa melayu yang sudah lama ketinggalan dari segi ekonomi (terimakasih keatas sistem perbankan berlandaskan wang fiat yang telah memberikan kelebihan awal kepada bangsa pendatang). Disini saya ingin mencadangkan agar koperasi itu digunakan juga untuk membantu ahli-ahlinya untuk mendapatkan kemudahan kredit. Saya pasti ramai yang bersetuju dengan saya bahawa memang sungguh sukar untuk bangsa melayu kita mendapatkan modal untuk mengembangkan perniagaan dari sistem perbankan sedia ada berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Buktinya sungguh jelas didepan mata dengan melihat perniagaan-perniagaan besar kebanyakannya dimiliki oleh bangsa asing. Ini adalah "berkat" pengasingan kemudahan kredit sejak mula bank pertama ditubuhkan di Tanah Melayu pada tahun 1860. Ini ditambah pula dengan kadar faedah/riba' tinggi yang dikenakan oleh bank kebanyakan. Malah pengalaman anak-anak murid Dr. juga banyak menceritakan kepayahan mereka mendapatkan wang untuk memulakan perniagaan sehingga terpaksa bergolok gadai, hutang kad kredit dan sebagainya.

Konsep koperasi yang saya cadangkan adalah sepertimana yang di jalankan oleh Bank JAK di Sweden. Asalnya digunakan oleh para petani disana yang telah menyedari bahawa mereka tidak akan memperolehi dari aktiviti perladangan mereka jika mereka berterusan mengambil kemudahan kredit dari bank-bank konvensional yang mengenakan faedah atau riba' yang tinggi. Hasilnya adalah koperasi usaha sama yang membangun hingga menjadi sebuah Bank pada hari ini.
Konsep yang diamalkan oleh Bank JAK ini adalah hampir sama seperti permainan kutu yang diamalkan oleh masyarakat kita yang mana semua peserta perlu mengeluarkan wang mereka sebelum atau selepas mereka mendapat wang yang terkumpul tersebut. Disini saya sertakan video-video penerangan mengenai Bank JAK untuk pemahaman terutama kepada anak-anak murid didikan Dr. yang saya pasti akan berminat dan menyokong koperasi berkonsepkan Bank JAK ini.


Saya memohon ribuan ampun dan maaf jika apa yang saya sebagai anak murid Dr. nyatakan disini bertentangan dengan apa yang Dr. telah sampaikan didalam seminar tempohari. Guru saya Sheikh Imran Hosein pernah menyatakan bahawa anak murid yang hebat adalah anak murid yang berani mencabar dan mempertikaikan apa yang disampaikan oleh gurunya itu dan bukannya hanya mengikut 100%, akan tetapi tentulah ianya perlu dilapik dengan hujah dan fakta yang bernas dan inilah yang cuba saya sampaikan. Diharap Dr. dapat memberikan perhatian kepada apa yang telah saya sampaikan ini terutamanya mengenai riba', bagaimana kita boleh pastikan 100% bahawa kita benar-benar berjaya dunia akhirat jika kita saban masa diperangi oleh Allah & Rasul. Pengganut agama lain kaya dan berjaya kerana mereka yakin dan percaya yang mereka boleh berjaya. Jika kita yakin dan percaya maka kita juga mampu menjadi seperti mereka untuk kaya dan berjaya walaupun bergelumang dengan riba', akan tetapi adakah kita pasti kita akan berjaya di akhirat?



Insyaallah saya akan terus menjadi anak murid Dr. didalam seminar akan datang untuk berjaya dunia dan akhirat. Saranan saya kepada rakan-rakan pembaca, jika berkesempatan, sertailah seminar Dr. Azizan Osman ini kerana apa yang beliau sampaikan adalah ilmu dari ratusan buku-buku yang jika kita mahu membacanya akan memakan masa bertahun-tahun, akan tetapi Dr. telah berjaya menyampaikannya dalam masa 3-4 hari sahaja. Berada didalam kumpulan yang mempunyai "mind-set" yang sama juga mampu memberikan kita "energi" yang kuat untuk lebih bersemangat menjadi hamba Allah SW yang kaya dan berjaya. Terima kasih banyak-banyak Dr. dan insyaallah kita akan bertemu lagi.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Rabu, 5 Februari 2014

Semakin Kaya Semakin Semakin Tidak Bertimbangrasa!

Adakah dengan semakin kayanya seseorang itu akan membuatkan dia menjadi lebih bertimbang rasa dan simpati kepada golongan yang miskin. Dan adakah disebabkan kekayaan mereka itu (baik disebabkan kerja yang baik, perniagaan yang menguntungkan atau pun lahir dialam keluarga bangsawan yang kaya) mereka akan kurang cenderung untuk menzalimi, menipu atau mencuri dari manusia lain. Kita boleh andaikan mungkin disebabkan seseorang yang kaya itu mempunyai wang yang banyak dan juga kuasa untuk membantu yang lemah, itu sepatutnya membuatkan mereka lebih bertimbang rasa, prihatin dan lebih mempunyai sifat-sifat kemanusiaan.

Kebanyakan kita pasti menganggap orang miskin dan susah lah yang sepatutnya lebih cenderung untuk lebih tidak bertimbang rasa, menipu ataupun mencuri akan tetapi kajian oleh pakar psikolgi di Amerika menerusi ujikaji-ujikaji mereka membuktikan sebaliknya. Pakar psikologi Paul Piff dan Dacher Keltner telah melakukan beberapa ujikaji dengan melihat samada status sosial (diukur melalui kekayaan, kehebatan jawatan dan pendidikan) mempengaruhi sejauh mana keprihatinan atau bertimbang rasa seseorang itu terhadap insan yang lain.


Didalam salah satu ujikaji mereka, mereka memperhatikan secara rahsia memperhatikan kelakuan pemandu-pemandu disatu simpang empat yang sibuk. Mereka mendapati mereka yang memandu kereta mewah lebih cenderung untuk memotong kenderaan yang lain yang berbaris menunggu giliran untuk melepasi persimpangan tersebut. Pemandu kenderaan mewah ini (pemandu kenderaan tersebut dari golongan mereka yang berstatus tinggi) baik lelaki atau wanita, tanpa mengira masa atau kesibukan trafik sama sahaja memotong pemandu-pemandu lain. Didalam ujikaji yang lain pula, mereka mendapati pemandu kereta mewah lebih cenderung untuk melajukan kereta mereka di lintasan pejalan kaki walaupun mereka sudah bertentang mata dengan pejalan kaki yang mahu melintas jalan.




Adakah mereka yang kaya lebih cenderung untuk menipu? Dalam ujikaji seterusnya para peserta diminta untuk bermain permainan komputer yang mana pada skrin komputer tersebut akan menayangkan salah satu dari muka buah dadu hasil "lontaran" mereka yang kononnya terhasil secara rawak. Mereka diminta untuk merekodkan jumlah mata yang diperolehi dan jika lebih banyak mata diperolehi, lebih besar kemungkinan untuk mereka memenangi hadiah wang tunai. Lima lontaran dibenarkan dan mereka diminta untuk merekodkan bacaan mereka itu. Apa yang tidak diketahui oleh mereka adalah jumlah mata dari lima balingan dadu tersebut telah ditetapkan oleh komputer sebanyak 12 mata sahaja untuk setiap peserta. Golongan yang berstatus tinggi didapati lebih cenderung untuk menipu dan merekodkan jumlah mata yang lebih berbanding apa yang dipaparkan di komputer.

Adakah mementingkan diri sendiri membuatkan seseorang itu menjadi kaya? Ujikaji seterusnya oleh Paul Piff dan rakannya pula adalah dengan meminta para peserta membuat perbandingan mengenai kedudukan mereka berbanding orang lain dari sudut ekonomi. Pada masa yang sama juga mereka diberitahu bahawa setelah selesai menjawab soalan-soalan tersebut mereka boleh mengambil sebanyak mana gula-gula yang terdapat didalam balang dihadapan mereka. Pada masa yang sama juga mereka diberitahu bahawa baki gula-gula yang tinggal akan diberikan kepada kanak-kanak di pusat penjagaan berhampiran. Para peserta yang melabelkan diri mereka lebih baik dari segi ekonomi berbanding orang lain didapati telah mengambi lebih banyak gula-gula berbanding golongan yang kurang baik.

Tetapi mengapakah semakin kaya dan tinggi status sosial seseorang itu mengurangkan perasaan simpati dan timbang rasa seseorang itu terhadap insan lain? Paul Piff mengesyaki kemungkinannya adalah
 disebabkan kekayaan dan status tinggi seseorang itu, mereka tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk hidup, dan semakin tidak bergantungnya seseorang itu kepada orang lain, semakin kurang kepedulian mereka terhadap kebajikan dan perasaan orang lain. Ini membawa kepada sikap pentingkan diri sendiri. Persoalan seterusnya adalah, adakah mereka golongan diatas ini sedar akan sikap buruk mereka ini? Malangnya didalam satu kajian yang lain, semakin tinggi pangkat seseorang itu, semakin dia tidak sedar akan sikap-sikap buruk mereka yang dapat dilihat oleh orang lain.



Didalam ujikaji yang lain pula, para peserta ujikaji diminta untuk menonton dua tayangan video dimana pada masa yang sama denyutan jantung mereka diukur. Satu video menunjukkan seorang memberi penjelasan bagaimana untuk membina patio dan satu lagi video berkenaan kanak-kanak yang mengidap kanser. Selepas menonton video tersebut, para peserta akan menjelaskan sejauh mana perasaan mereka apabila menonton video-video tersebut. Status sosial para peserta diketahui dengan menyoal selidik pendapatan dan tahap pendidikan mereka. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa para peserta yang rendah status sosialnya iaitu dengan pendapatan dan juga pendidikan yang rendah lebih menunjukkan rasa simpati apabila menonton video pesakit kanser, malah denyutan jantung mereka juga menjadi perlahan semasa menonton video tersebut yang mana menunjukkan tindak balas penumpuan mereka terhadap perasaan orang lain. Hasil kajian ini juga selari dengan penyelidikan sebelumnya yang mana golongan atasan lemah dalam mengenal pasti perasaan orang lain dan kurang menumpukan perhatian dengan orang-orang yang berinteraksi dengan mereka dengan cara membelek telefon bimbit mereka ataupun menconteng-conteng kertas.





Daripada penyelidikan-penyelidikan diatas, berapa ramai dikalangan pembaca yang dapat mengaitkannya dengan keadaan sebenar masyarakat kita hari ini? Adakah pemimpin-pemimpin kita yang semakin kaya dan tinggi taraf sosialnya itu benar-benar dapat memahami, bertimbang rasa, prihatin dan benar-benar berjiwa rakyat? Adakah mereka jujur dan tidak menipu rakyat dalamana mereka meneraju negara kita ini?

Melihat kepada jurang pendapatan yang semakin besar dinegara kita, hubungan antara kekayaan dan keprihatinan atau bertimbangrasa ini mempunyai implikasi yang teramat penting. Mereka yang berkuasa dinegara kita ini kebanyakan datangnya dari golongan yang berada, oleh itu jika status sosial ini mempengaruhi keprihatinan seseorang itu terhadap insan lain, nampaknya besar kemungkinan keputusan-keputusan atau polisi-polisi yang dianjurkan oleh mereka bukanlah sebenarnya membantu golongan yang miskin dan kurang bernasib baik malah lebih untuk mengenyangkan perut mereka.


Jika pemimpin yang dari kecil hidup didalam kemewahan dan tidak pernah kenal erti susah, wujudkah jaringan-jaringan neuron yang pernah terbentuk didalam otak mereka yang akan kembali aktif apabila melihat atau mendengar kesusahan rakyat dan kemudiannya merembeskan "peptid-peptid molekul emosi" yang akan menyelinap kesalur darah mereka memberikan perasaan sebenar erti kepayahan dan kesusahan? Jawapannya tentulah tidak. Buktinya teramat jelas kerana apabila negara mengalami masaalah ekonomi, rakyatlah dahulukan dalam usaha mencari wang untuk membayar hutang. Setelah gula, minyak, tol dan sebagainya akibat virus BN (Barang Naik), ditambah pula dengan GST untuk memaksa rakyat membayar beban hutang yang dibuat oleh kerajaan, barulah akhir sekali gaji menteri-menteri nak dipotong? Mengapa ianya tidak mula-mula sekali dilakukan jika mereka benar-benar berjiwa rakyat?



Jawapannya adalah, semakin kaya, semakin tinggi pangkat dan status sosial, semakin mereka tidak bertimbang rasa terhadap insan lain terutama sekali rakyat. Apa yang penting bagi mereka adalah untuk memastikan mereka terus kekal berkuasa dan rakyat semua perlu membayar harga untuk memastikan mereka terus kekal berkuasa. Barangkali jaringan neuron kesusahan yang ada didalam otak mereka adalah susahnya bagaimana nak mendapatkan undi. Selagi pemimpin sebegini memerintah, semakin hari semakin kehidupan rakyat menjadi susah.

 Malah saranan-saranan bodoh juga dikemukakan oleh mereka kepada rakyat contohnya berhijrah kenegara lain jika tidak setuju dengan kepimpinan mereka. Nampaknya ketidak prihatinan, kesombongan dan kebodohan sudah berjalan berpimpin tangan dengan mereka.

Ini dilihat dari segi pemimpin, bagaimana dengan diri kita sendiri? Jika kita mengetahui bahawa dengan membuat pinjaman-pinjaman di bank ini akan menyebabkan meningkatnya inflasi disebabkan bertambahnya jumlah wang didalam kitaran berbanding dengan kekayaan sebenar, dan inflasi ini pula akan menyebabkan harga barangan meningkat yang mana pasti akan membebankan golongan berpendapatan rendah, adakah kita yang berkedudukan baik dengan pangkat tinggi dan gaji tetap setiap tahun naik ini akan berhenti membuat pinjaman-pinjaman baru, mengambil sifat zuhud dengan rumah kecil, kereta lama, berusaha membeli barangan baru secara tunai dan sebagainya?
 Adakah kita yang bernasib baik ini mempunyai perasaan simpati terhadap golongan yang susah ini?

Adakah kita juga akan tetap memilih pemimpin yang sama dipilihanraya akan datang nanti walaupun kita tahu hasil kepimpinan mereka lebih banyak menyusahkan rakyat dan mengkayakan golongan segelintir hanya kerana kita takutkan perubahan yang akan menggugat kesenangan kehidupan kita? Pedulikah akan kita kepada nasib malang golongan kurang bernasib baik ini?

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.          (Al Imran 3:92)



Sesungguhnya Allah SW itu Maha Adil, semakin kaya dan berpangkat seseorang itu semakin kurang sifat timbang rasa dan simpati mereka kepada orang lain dan inilah cabarannya kepada kita sebagai manusia untuk senantiasa sedar bahawa segalanya ada "harga" yang perlu dibayar, tiada apa yang percuma didunia ini termasuklah untuk kekayaan dan pangkat kita itu. Ini memerlukan kita untuk menjadi "Pemerhati Yang Hebat", memerhatikan pemikiran kita yang kemudiannya akan menjadi tindak tanduk perbuatan yang akan mempengaruhi manusia-manusia lain. Sebab itulah disyurga lebih ramai orang miskin berbanding yang kaya seperti yang diberitahu oleh Nabi. Adakah kita pasti kita sudah mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian jika kita tidak mahu melepaskan sebahagian dari kesenangan kita itu?

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak… dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Al-Hadid 57:20)

Kita semua berkait, baik jika kita lihat dari kejadian Adam AS, Teori Big Bang mahupun ujikaji fizik kuantum, apa yang kita lakukan dan segala tindak tanduk kita ini akan mempengaruhi kehidupan kita. Marilah hidup dengan lebih matlamat kepada "kita" daripada "aku", kerana kita semua adalah satu, hidup didalam dunia yang satu dan menyembah Tuhan yang satu. Lebihkan memberi dan fikir-fikirkanlah sedalam-dalamnya sebelum mengambil. Allah SW tidak akan menghukum mereka yang memberi lebih, sebaliknya yang mengambil lebih dari apa yang sebenarnya hak diri manusia itu. Keputusannya ditangan anda, harap artikel ini dapat memberikan ketukan minda buat mereka yang mahu berfikir.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share
"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas